- Iklan -
Berita

Selepas ‘perbualan telefon’ bocor, Zahid dakwa serangan politik jahat terhadapnya

Zahid melahirkan rasa kecewa dan terkejut selepas dimaklumkan mengenai penyebaran audio yang didakwa merakam perbualannya bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri salah satu sesi mahkamah berhubung pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram. Gambar: Bernama
Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri salah satu sesi mahkamah berhubung pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram. Gambar: Bernama

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menafikan sekeras-kerasnya bahawa wujud perbualan antara beliau dan presiden PKR Anwar Ibrahim seperti rakaman audio yang didedahkan MalaysiaNow hari ini, menyifatkannya sebagai percaturan politik jahat terhadap beliau.

Zahid turut melahirkan rasa kecewa dan terkejut selepas dimaklumkan mengenai penyebaran audio yang didakwa merakam perbualannya bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya mengenai adanya perbualan sebagaimana dalam audio rakaman tersebut,

“Malah ingin ditegaskan tiada sebarang perbualan antara saya dengan Anwar selepas Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menyifatkan rakaman audio yang ditularkan tersebut adalah percaturan politik jahat dan jijik selain dilakukan demi menghancurkan Umno

“Saya percaya lebih banyak lagi permainan keji seperti ini akan dilakukan untuk terus meremehkan dan memusnahkan Umno.”

Zahid juga menambah beliau telah mengarahkan pegawainya untuk segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan bagi mengenal pasti dalang tersebarnya pendedahan terbaru itu.

MalaysiaNow awal hari ini mendedahkan sebuah rakaman audio perbualan telefon di antara presiden Umno dan PKR.

Rakaman berdurasi empat minit itu menunjukkan perbualan antara dua pemimpin itu saling berterima kasih dan menyatakan rasa senang hati selepas perwakilan-perwakilan Umno sebulat suara memutuskan hubungan dengan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Rakaman telefon itu dipercayai berlaku beberapa jam selepas ucapan penggulungan Zahid yang menyaksikan Perhimpunan Agung Umno memberikan mandat kepadanya.

Dalam perbualan itu, Anwar turut mengucapkan tahniah di atas ucapan Zahid semasa Perhimpunan Agung Umno, dan presiden parti Melayu itu pula turut membalas pujian Anwar.