Saturday, May 15, 2021

Peneroka di Tanjung Pasir tuntut hak pemilikan tanah

Peneroka bekerja di ladang kelapa sawit tersebut sejak 1967, namun masih tidak menerima sebarang geran pemilikan tanah.

Other News

Peneroka di Kampung Tanjung Pasir, Selangor hari ini mendesak Menteri Besar Amirudin Shari bertemu dengan pihak mereka bagi menyelesaikan beberapa isu tanah yang tidak kunjung selesai sejak 40 tahun lalu.

V Jayakumar yang mewakili peneroka di kawasan itu berkata mereka sudah bekerja di ladang kelapa sawit tersebut sejak tahun 1967, namun mereka masih tidak menerima sebarang geran pemilikan tanah.

“Tiba-tiba, kami dengar ada dua syarikat swasta diberikan pajakan selama 21 tahun untuk 200 ekar tanah itu.

“Syarikat-syarikat itu nanti akan turut kutip sewa daripada peneroka-peneroka di kawasan berdekatan, Perangsang, bila sekarang ini mereka sudah dapat pajakan tanah,” katanya semasa himpunan protes yang dianjurkan peneroka di Tanjung Jaya, Bestari Jaya hari ini.

Jayakumar berkata pihak peneroka telah meminta geran tanah sejak tahun 2004, namun tidak ada sebarang susulan mengenainya.

“Kami dah hantar surat kepada pejabat menteri besar tahun lalu, namun tak ada jawapan yang konkrit daripada mereka.

“Kami tak faham apa yang cuba nak diberitahu pejabat menteri besar,” katanya yang turut menambah sepucuk surat terbaru telah dihantar pada April ini.

Ketika ini, kira-kira 400 orang peneroka tinggal di Tanjung Pasir.

Mereka berkata jalan raya di kawasan itu dibina oleh salah sebuah syarikat itu tujuh bulan lalu tanpa sebarang makluman.

Ahli Parlimen Tanjung Karang Noh Omar yang turut hadir dalam himpunan bagi menuntut hak peneroka itu menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat syarikat-syarikat tersebut.

Beliau juga turut memaklumkan sebuah laporan polis juga telah dibuat pada 2019.

“Kedua-dua syarikat tersebut memiliki alamat yang sama dan baru sahaja diasaskan pada Julai 2018.

“Syarikat-syarikat tersebut diberikan pajakan dua bulan selepas ia mendapat kebenaran untuk tujuan pertanian, namun kami risau mereka nak lombong pasir,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles