- Iklan -
Berita

Hanya Jho Low tahu mengapa RM27 juta masuk akaun Najib, kata peguam

Peguam Najib berkata bekas perdana menteri tidak mengetahui tentang Jho Low dan beberapa orang lagi memindahkan wang ke dalam akaunnya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Najib Razak ketika menghadiri perbicaraan mahkamah berhubung skandal SRC International.
Najib Razak ketika menghadiri perbicaraan mahkamah berhubung skandal SRC International.

Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu hanya ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low boleh menjelaskan mengapa dana SRC International Sdn Bhd dimasukkan ke akaun bank Najib Razak.

Peguam bekas perdana menteri itu Harvinderjit Singh berkata demikian ketika ditanya oleh hakim Abdul Karim tentang mengapa wang jutaan ringgit tersebut dipindahkan ke akaun Najib.

Karim: Mengapa wang RM5 juta dan RM27 juta dimasukkan ke akaun Najib?

Harvinderjit: Hanya Jho Low yang dapat menjawab perkara itu. Namun, kami boleh maklumkan kepada mahkamah bahawa wang RM27 juta itu dimasukkan ke dalam akaun Najib kerana Joana Yu Ging Ping (bekas pengurus perhubungan AmBank) memberitahu baki dalam akaun tidak mencukupi.

Karim yang mendengar rayuan itu bersama-sama para hakim Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin, juga bertanya kepada Harvinderjit tentang penglibatan Jho Low dalam SRC International memandangkan lelaki itu tidak mempunyai jawatan dalam syarikat terbabit pada masa berkenaan.

Karim: Jho Low (bukan) pegawai dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan SRC. Bila Jho Low terlibat? Namun, kamu beritahu Jho Low memberi arahan kepada Joana Yu, yang beliau berhubung dengan Jho Low. Tiba-tiba sahaja Jho Low timbul?

Harvinderjit: Sebab Jho Low disebut ialah kerana cek. Jho Low boleh pindahkan wang keluar daripada SRC menerusi bekas Pengarah SRC Terence Geh.

Karim: Adakah kamu mengatakan bahawa arwah Azlin Alias (bekas ketua setiausaha sulit Najib) tidak ada kena mengena dengan perkara itu? Semuanya dilakukan oleh Jho Low?

Harvinderjit: Ya.

Azlin meninggal dunia dalam nahas helikopter pada April, 2015.

Harvinderjit juga menghujahkan bahawa Jho Low terlibat dalam jejak kewangan berbelit itu yang melibatkan akaun SRC, Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB), Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) dan Najib.

Kata peguam tersebut Jho Low serta beberapa individu lagi terlibat dalam pemindahan wang membabitkan akaun Najib, dan bekas perdana menteri itu tidak mengetahui tentangnya.

“Mengapa perdana menteri dengan sengaja mengambil wang daripda sebuah syarikat berkaitan kerajaan dan memasukkan wang itu dalam akaun beliau?” kata peguam tersebut.

Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati beliau bersalah terhadap tujuh tuduhan membabitkan pecah amanah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International.

Pendengaran rayuan itu bersambung.