- Iklan -
Berita

Hubungan Petra Jaya, Putrajaya erat, tiba masa PM berbuat lebih, kata penganalisis

Muhyiddin perlu buktikan beliau mampu selesaikan isu tertunggak di antara kerajaan pusat dan Sarawak.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Muhyiddin Yassin diiringi ketua menteri Sarawak ketika lawatannya ke negeri itu minggu lalu. Gambar: Bernama
Muhyiddin Yassin diiringi ketua menteri Sarawak ketika lawatannya ke negeri itu minggu lalu. Gambar: Bernama

Penyelesaian bagi isu-isu tertunggak yang menjadi duri dalam daging antara Sarawak dan Putrajaya masih menjadi kunci memperolehi sokongan yang lebih kukuh daripada rakyat negeri ini, kata penganalisis.

Mereka berkata persetujuan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membayar berbilion-bilion dolar cukai petroleum kepada Sarawak, hanya beberapa bulan selepas memegang tampuk pentadbiran memberi impak besar dalam memulihkan hubungan yang dilihat kurang mesra sejak beberapa dekad lalu.

Ada hal yang melatari hubungan yang tidak mesra itu.

Kerajaan Sarawak tidak gembira dengan kerajaan pusat kerana pentadbiran di Putrajaya gagal melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sarawak sudah lama menuntut lebih banyak kuasa seperti yang termaktub di bawah MA63, dokumen yang menjadikan wilayah itu dan Sabah sebagai sebahagian dari Persekutuan Malaysia.

Ahli akademik Sarawak, Jeniri Amir, yang sering menulis mengenai hal ehwal dan sejarah Sarawak, berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin harus menggunakan layanan baik Petra Jaya terhadap beliau.

Beliau berkata, selain penyelesaian cukai minyak, Muhyiddin harus segera menghapuskan halangan-halangan lain bagi mengeratkan hubungan yang terjalin baik.

Menurutnya hubungan baik antara kedua-dua pentadbiran pasti akan diterjemah sebagai sokongan politik kepada kerajaan pusat.

Antara halangan yang masih tertunggak itu termasuk pendirian sebenar perdana menteri berhubung kes kalimah “Allah”, dan juga isu-isu lain berkaitan MA63.

Putrajaya ketika ini dalam proses memohon semakan semula keputusan mahkamah yang membenarkan penganut Kristian di Sarawak menggunakan kalimah “Allah” dalam teks agama.

“Langkah mereka untuk kemukakan semakan semula terhadap keputusan penghakiman yang mengizinkan orang bukan Islam menggunakan kalimah ‘Allah’ boleh mempengaruhi sokongan terutama dari penganut Kristian,” kata Jeniri kepada MalaysiaNow.

Semasa lawatannya baru-baru ini, Muhyiddin enggan mengulas mengenai masalah tersebut dan berkata kerajaan menyerahkan urusan kes tersebut kepada mahkamah.

Sarawak adalah satu-satunya negeri di Malaysia dengan majoriti penganut Kristian merangkumi sekitar 40% penduduk.

Jeniri berkata pendirian kerajaan persekutuan mengenai isu kalimah Allah, yang sejajar dengan undang-undang Islam sesetengah negeri yang melarang orang bukan Islam menggunakan istilah itu, boleh menggambarkan Putrajaya tidak ikhlas mengakui hak-hak penduduk Sarawak.

Jeniri juga berkata penting bagi Muhyiddin untuk menunjukkan beliau adalah pemimpin yang mampu memenuhi tuntutan Sarawak sebelum dan bukan hanya selepas pilihan raya.

Setakat ini, tambahnya, Muhyiddin menunjukkan prestasi yang baik.

“Untuk berlaku adil dalam menilai Muhyiddin, dia sudah berusaha menunjukkan komitmennya dengan memenuhi permintaan kerajaan Sarawak mengenai pembayaran SST hasil minyak dan gas dari Petronas,” tambahnya.

Namun, Jeniri berkata Muhyiddin mesti berusaha melakukan lebih banyak perkara, terutama setelah serangan yang dihadapinya dari Umno, parti yang pernah bersama-sama dengan GPS dalam Barisan Nasional Sarawak yang kini sudah tidak berfungsi.

Menurut penganalisis, kunjungan Muhyiddin baru-baru ini dilihat berjaya meningkatkan imejnya di Sarawak, selain mendapat sokongan penuh Ketua Menteri Abang Johari Openg.

Selepas pertemuan itu, PN bahkan berikrar untuk membantu GPS memenangi pilihan raya negeri (PRN) Sarawak yang akan datang.

Bagaimanapun, ikrar PN itu turut menimbulkan persoalan sama ada Bersatu dan PAS, dua parti komponen PN, akan tetap bertanding dalam PRN Sarawak.

Seorang pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), parti yang dipimpin ketua menteri dan dilihat sebagai tulang belakang GPS, berkata jika tidak bertanding di Sarawak, ia akan memperkukuhkan lagi hubungan antara PN dan GPS.

Anggota Majlis Tertinggi PBB, Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut menyatakan terima kasih kepada Muhyiddin kerana berjanji untuk menggerakkan jentera PN pada pilihan raya akan datang bagi membantu mereka memenangi PRN.

Beliau berkata, semasa PBB menjalin kerjasama dengan Umno di bawah BN, Umno tidak pernah bertanding di Sarawak.

Junaidi berkata penyusunan seperti itu juga diharap dapat diadakan.

“Tetapi jika mereka (PN) ingin bertanding, itu keputusan mereka, namun tentu saja, ini akan menunjukkan bahawa tidak ada semangat perpaduan dalam pentadbiran kerajaan,” katanya.

“Jadi, ada baiknya jika PAS dan Bersatu tidak bertanding di Sarawak sehingga hubungan kita dapat dijalin bukan sahaja di peringkat persekutuan tetapi juga di peringkat negeri.”

Ketika dihubungi, seorang jurucakap PAS Sarawak berkata pihaknya terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja, namun berkata keputusan mengenai isu tersebut adalah keputusan kepimpinan pusat.

“Keutamaan sekarang adalah bersama dalam memastikan kestabilan politik di Sarawak yang juga akan memastikan kestabilan politik di peringkat nasional,” kata Ketua Penerangan PAS Sarawak, Zharudin Narudin kepada MalaysiaNow.