Saturday, July 31, 2021

Bukan Islam bebas gunakan ‘Allah’ bila-bila masa di Sarawak, kata ketua menteri

Abang Johari berkata ahli-ahli politik seharusnya menumpukan isu besar melibatkan masyarakat awam dan bukannya bergaduh tentang penggunaan kalimah “Allah”.

Other News

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg hari ini berkata, bukan Islam di Sarawak bebas menggunakan kalimah “Allah” pada bila-bila masa walaupun Putrajaya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan perkataan itu dan tiga perkataan Arab lain bagi penganut agama Kristian dalam negara.

Bercakap pada sebuah majlis di Mulu hari ini Abang Johari berkata, ahli-ahli politik seharusnya menumpukan isu besar melibatkan masyarakat awam dan bukannya bergaduh tentang penggunaan kalimah “Allah”.

“Sesiapa sahaja boleh menggunakan kalimah Allah di sini, di Sarawak kerana saya percaya bahawa kita semua sama, walaupun terdapat perbezaan agama, bangsa dan budaya kita,” katanya.

“Jika orang lain mengatakan tidak dapat menggunakan Allah, biarkanlah. Tetapi di sini, anda boleh menggunakan kalimah Allah pada bila-bila masa. Tiada masalah.”

Beliau berkata, Sarawak sentiasa berada dalam keadaan aman kerana kerajaan negeri tidak mengabaikan agama-agama lain.

“Sarawak adalah satu-satunya negeri yang memberikan bantuan khas untuk agama lain,” katanya.

“Kami mempunyai unit kami sendiri untuk menjaga kesejahteraan agama lain. Kita mesti menolong membina tempat pemujaan agama lain agar semua orang senang mengamalkan kepercayaan mereka sendiri.”

Beliau turut menggesa rakyat Sarawak supaya menjadikan toleransi dan menghormati agama lain sebagai nilai utama.

“Mana-mana agama mengajar kita untuk tidak berbohong dan membuat fitnah, dan kita mesti saling menjaga antara satu sama lain dan sentiasa bersatu hati.

“Dan saya berpegang teguh dengan ajaran ini. Lagipun, penggunaan perkataan Allah itu adalah antara anda dengan Tuhan anda. Apa-apa pun, hanya Tuhan saja yang tahu apa yang niat anda. Saya percaya jika kita sentiasa berbuat baik kepada orang lain, bahawa Tuhan akan sentiasa bantu kita.”

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab lain – “Baitullah”, “Kaabah” dan “solat” dalam penerbitan pendidikan agama itu.

Hakim Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu selepas membenarkan perisytiharan yang dibuat oleh seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill yang melalui proses undang-undang berhubung perkara itu sejak 13 tahun lalu.

“Selain itu, deklarasi bahawa arahan kerajaan pada 5 Disember 1986 adalah salah di sisi undang-undang dan tidak berperlembagaan,” katanya.

Beliau berkata, penganut Kristian menggunakan perkataan itu sejak lebih daripada 400 tahun.

Bagaimanapun Putrajaya mengemukakan rayuan, mengatakan tidak berpuas hati terhadap keputusan tersebut.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam lawatannya ke Sarawak baru-baru ini mengatakan beliau menyerahkan perkara ini kepada mahkamah.
“Rayuan sedang berjalan, jadi kita tunggu keputusan. Saya tidak mahu menyatakan pendirian peribadi kerana ia boleh menjadi sub judice.

“Peguam negara sudah mengemukakan rayuan dan saya menyerahkan semuanya kepada mahkamah,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles