- Iklan -
Berita

Arab Saudi hanya benarkan jemaah disuntik vaksin tunai umrah

Syarat baru yang diperkenalkan itu mungkin turut dikuatkuasakan di Masjid Nabawi.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Para pengunjung bertawaf di sekeliling Ka'abah. Gambar: Bernama
Para pengunjung bertawaf di sekeliling Ka'abah. Gambar: Bernama

Arab Saudi hanya membenarkan individu yang sudah menerima suntikan imunisasi Covid-19 untuk menunaikan umrah pada bulan Ramadan ini.

Kementerian Haji dan Umrah, berkata individu terbabit dipecahkan kepada tiga kategori penerima suntikan vaksin sebelum dibenarkan mengerjakan umrah.

“Tiga kategori itu adalah individu penerima dua dos vaksin Covid-19, menerima dos pertama sekurang-kurangnya 14 hari sebelum berangkat dan mereka yang pulih dari jangkitan,” kata kementerian itu dalam kenyataan, semalam.

Kementerian itu bagaimanapun tidak memperincikan sampai bila ia akan dilaksanakan atau dilanjutkan sehingga musim haji pada tahun ini berikutan peningkatan jangkitan Covid-19 di negara itu.

Sebelum ini, Arab Saudi membenarkan individu yang layak termasuk belum mendapat suntikan vaksin menunaikan umrah dan bersolat di Masjidil Haram.

Syarat baru yang diperkenalkan itu mungkin turut dikuatkuasakan di Masjid Nabawi.

Dasar itu dijangka meningkatkan kapasiti operasi di Masjidil Haram sepanjang bulan puasa pada tahun ini.

Pengumuman itu dibuat selepas Raja Salman melakukan perubahan Kabinet termasuk membabitkan portfolio menteri haji bulan lalu, kurang setahun kerajaan itu membenarkan sejumlah kecil jemaah untuk menunaikan ibadat haji pada Julai tahun lalu.

Setakat ini, angka jangkitan Covid-19 di Arab Saudi merekodkan lebih 393,000 kes dan 6,700 kematian.

Kementerian kesihatan Arab Saudi turut berkata, lebih lima juta dos vaksin Covid-19 diberikan kepada rakyatnya yang mempunyai populasi lebih 34 juta orang.

Sekitar 10,000 penduduk Arab Saudi dibenarkan menunaikan haji pada tahun 2019 berbanding 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia.

Arab Saudi juga setakat ini masih belum membuat keputusan jumlah sebenar jemaah dibenarkan menunaikan ibadah haji pada tahun ini.