- Iklan -
Berita

Serangan udara junta Myanmar, 12,000 hilang tempat tinggal

Serangan udara junta itu dipercayai sebagai balasan terhadap serangan KNU ke atas pangkalan tenteranya.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Tunjuk perasaan di Myanmar diteruskan dengan campr tangan pelbagai pihak. Gambar: AP
Tunjuk perasaan di Myanmar diteruskan dengan campr tangan pelbagai pihak. Gambar: AP

Kumpulan pemberontak mendakwa tentera Myanmar menggunakan “kekerasan melampau” apabila serangan udara mereka telah menjadikan lebih dari 12,000 orang awam yang tidak bersenjata, termasuk kanak-kanak terpaksa melarikan diri.

Akhir bulan lalu, kumpulan bersenjata etnik Karen National Union (KNU) merampas sebuah pangkalan tentera di Kayin, rampasan itu turut membunuh 10 pegawai tentera.

Ekoran serangan tersebut, junta Myanmar membalas dengan serangan udara ke kawasan yang dikuasai KNU.

KNU telah menjadi penentang kuat junta tentera yang menggulingkan Aung San Suu Kyi dua bulan lalu.

Selain itu, kumpulan tersebut turut mendakwa ia melindungi ratusan aktivis anti-kudeta.

Pada Sabtu, KNU mengecam penggunaan “kekerasan melampau dengan melakukan pengeboman dan serangan udara tanpa henti” dari 27 – 30 Mac lalu.

Serangan itu juga telah “menyebabkan kematian ramai orang termasuk kanak-kanak”.

“Serangan udara juga menyebabkan pemindahan lebih dari 12,000 orang yang meninggalkan kampung mereka sehingga menyebabkan krisis kemanusiaan besar,” jelasnya lagi.

Jurucakap Junta, Zaw Min Tun berkata, tentera hanya menyasarkan Briged ke-5 KNU – yang mengetuai serangan ke atas pangkalan tentera dan membunuh pegawai.

“Kami hanya melakukan serangan udara pada hari itu.

“Kami telah menandatangani perjanjian gencatan senjata nasional … Jika mereka mengikuti NCA, tidak ada alasan untuk konflik terjadi,” kata Min Tun kepada AFP.

Sebelum ini, media tempatan dan kumpulan hak asasi Karen melaporkan banyak pengeboman dan serangan udara di seluruh negara itu sejak beberapa hari lalu.

Kira-kira 3,000 orang melarikan diri ke negara jiran Thailand pada Isnin minggu lalu, menyeberangi Sungai Salween untuk mencari perlindungan.

Namun kebanyakan mereka kembali ke Myanmar pada hari Rabu.

Myanmar mengalami kekacauan sejak tentera merampas kekuasaan pada 1 Februari, mencetuskan pemberontakan besar-besaran di seluruh negara dengan penunjuk perasaan menuntut pemulihan demokrasi di negara itu.