- Iklan -
Berita

Notifikasi suntikan vaksin di MySejahtera, 14 hari sebelum janji temu

Dua notifikasi dihantar setiap tiga hari dan sehari sebelum tarikh itu melalui panggilan telefon dan pesanan teks.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang petugas barisan hadapan Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) menunggu gilirannya untuk menerima suntikan.
Seorang petugas barisan hadapan Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) menunggu gilirannya untuk menerima suntikan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin hari ini berkata bahwa notifikasi janji temu di bawah fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan dihantar mulai hari ini melalui aplikasi MySejahtera, panggilan telefon dan teks pesanan.

Bercakap pada sidang media, beliau berkata bahawa para penerima akan diberi pilihan untuk bersetuju dengan tarikh janji temu dan kehadiran vaksinasi tersebut adalah wajib.

“Kehadiran adalah wajib kerana kami telah merancang dengan terperinci untuk pengiriman vaksin ke setiap pusat vaksinasi.

“Kami berharap mereka akan hadir jika setuju dengan tarikh tersebut, jika tidak, vaksin tersebut akan sia-sia kerana tidak dapat dimasukkan kembali ke dalam peti sejuk setelah ia dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata bahawa penerima vaksin akan diberitahu 14 hari sebelum tarikh janji temu dengan dua notifikasi dihantar setiap tiga hari dan sehari sebelum tarikh itu melalui panggilan telefon dan pesanan teks.

Beliau menambah bahawa majikan mungkin diminta untuk memberikan pekerja bercuti bagi menerima suntikan vaksin.

“Anggota keluarga mungkin juga dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas negeri bagi membawa tanggungan mereka ke janji temu,” katanya, sambil menambah bahawa kedua-dua cadangan itu memerlukan persetujuan kementerian sumber manusia dan Majlis Keselamatan Negara.

Lapan negeri – Kedah, Melaka, Pahang, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Terengganu dan Labuan – akan memulakan Fasa 2 PICK pada 19 April, diikuti negeri-negeri lain.