- Iklan -
Berita

Hati-hati dengan pil pelangsing di pasaran, rujuk NPRA, kata pakar

Pakar menyarankan usaha menurunkan berat badan harus bermula dengan diet sihat dan senaman.

Siva Selan
3 minit bacaan
Kongsi
Menurunkan berat badan adalah usaha yang memerlukan komitmen dalam pemakanan sihat dan senaman berterusan. Gambar: AP
Menurunkan berat badan adalah usaha yang memerlukan komitmen dalam pemakanan sihat dan senaman berterusan. Gambar: AP

Pakar kesihatan mengingatkan orang ramai tidak mengambil pil atau makanan tambahan pelangsing tubuh sebagai jalan pintas bagi menurunkan berat badan susulan keputusan mahkamah mensabitkan satu syarikat gergasi farmasi dunia dengan kesalahan menyebabkan kematian ratusan orang akibat pil yang dihasilkannya.

Seorang doktor kesihatan awam, Dr Rosnah Ramly, berkata penurunan berat badan harus dilakukan melalui cara pemakanan yang sihat sementara kaedah lain untuk menguruskan badan adalah tidak disarankan.

Namun, daya tarikan produk pelangsing kononnya memberikan hasil yang cepat, menyebabkan nasihat pakar sering tidak diendahkan orang ramai.

“Makan secara sihat memerlukan komitmen dan usaha yang berterusan, motivasi dan persekitaran yang menyokong, kesannya pun sering lambat,” kata Rosnah kepada MalaysiaNow.

Kebimbangan pakar kesihatan mengenai pengambilan produk pelangsing tubuh tanpa perlu mengikuti diet sihat dan senaman adalah berpunca daripada bahan-bahan di dalam produk yang boleh menyebabkan kesan sampingan kepada pengguna.

Bahkan, sekiranya diambil secara berterusan, pengguna pil atau makanan tambahan mungkin boleh menyebabkan seseorang itu menghidap penyakit kronik.

Minggu lalu, syarikat farmasi Perancis Servier, didapati bersalah menyebabkan ratusan kematian dengan pil diabetes dan penurunan berat badannya, Mediator.

Pada awalnya, Mediator berada dalam pasaran menyasarkan penghidap diabetes yang memiliki berat badan berlebihan.

Kemudian, Mediator disyorkan kepada pengguna yang sihat sebagai pil yang mampu mengurangkan selera makan.

Ia berada di pasaran lebih dari 30 tahun dan digunakan oleh kira-kira lima juta orang sebelum ditarik balik pada 2009 kerana dibimbangi boleh menyebabkan masalah jantung yang serius.

Kira-kira 500 orang mati akibat ubat tersebut, namun pakar berpendapat bahawa ia sudah menyebabkan 2,100 kematian.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia Amrahi Buang mendesak mereka yang mempunyai masalah obesiti atau berat badan berlebihan mengikuti program pengurusan berat badan yang betul.

Beliau juga mengingatkan pengguna supaya berhati-hati ketika membeli makanan tambahan atau pil kerana beberapa produk didapati mengandungi bahan yang dilarang oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Sebagai contoh, bahan seperti sibutramin dan phentermin yang biasanya terdapat dalam produk pelangsing tubuh.

Dua bahan tersebut diketahui boleh menyebabkan kesan sampingan seperti sakit kepala, sembelit, pedih ulu hati, sakit belakang dan haid jika diambil tanpa preskripsi.

Amrahi berkata jika gejala demikian berlaku, seseorang harus berjumpa doktor sebelum ia menjadi lebih teruk.

“Sekiranya anda mengalami kesan sampingan yang lebih teruk seperti peningkatan tekanan darah, berdebar-debar jantung, kegelisahan, pening, gegaran, gangguan tidur, sesak nafas atau sakit dada, segera hubungi doktor anda.”

Walaupun memiliki risiko kesihatan, selain penguatkuasaan pihak berkuasa bagi mengawal produk tersebut.

Amrahi berkata masalah berkaitan produk penurunan berat badan adalah lebih “besar”.

Salah satu puncanya, bekalan produk-produk ini tersedia di platform e-dagang dan media sosial. Mereka yang kurang celik mengenai kesihatan mudah dipengaruhi iklan, kata Amrahi.

“Terdapat ribuan laman sesawang dalam talian dan platform media sosial yang menjual produk ini,” jelasnya.

Rosnah turut bersetuju ramai orang terpikat untuk membeli produk ini akibat termakan strategi pemasaran yang meyakinkan dan kemudahan akses di platform e-dagang dalam talian.

Pelbagai pengesahan atau testimoni dari tokoh tertentu turut diletakkan bagi melariskan produk.

“Produk-produk ini sering gunakan testimoni daripada selebriti dan jurucakap terkenal selain turut dikomersialkan di televisyen dan papan iklan,” kata Rosnah kepada MalaysiaNow.

Amrahi turut mengingatkan kepada pengguna agar sentiasa berwaspada dengan produk-produk palsu dan elak daripada membeli produk dalam talian yang tidak jelas keterangan produknya.

Beliau turut menasihati orang ramai untuk membeli-belah dari farmasi terdekat.

“Pastikan produk tersebut didaftarkan di bawah NPRA untuk kualiti, keselamatan, dan keberkesanannya.”

Sekiranya wujud keraguan pada sesuatu produk, beliau menyarankan agar orang ramai mendapatkan nasihat daripada ahli farmasi dan doktor yang berkelayakan.

Rosnah juga mengingatkan orang ramai agar tidak senang terpengaruh dengan pelbagai dakwaan dan testimoni produk.

“Produk pelangsing tubuh ini mungkin dicampur dengan bahan-bahan seperti sibutramin atau phentermin,” katanya.