- Iklan -
Berita

20 kluster sektor pendidikan direkodkan setakat 4 April

Jangkitan Covid-19 kluster sektor pendidikan berlaku melalui rakan sekerja atau kontak sosial.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Gelagat ibu bapa melihat anak-anak mereka masuk ke perkarangan sekolah di Ampang.
Gelagat ibu bapa melihat anak-anak mereka masuk ke perkarangan sekolah di Ampang.

Kementerian kesihatan merekodkan peningkatan bilangan kluster di sektor pendidikan dengan 20 kluster ditemui dari tempoh 20 Mac hingga 4 April.

Menteri kesihatan Dr Adham Baba berkata kluster terbesar adalah kluster Paloh Rambai di Kelantan melibatkan tiga orang guru dari beberapa sekolah di Ketereh dan Kok Lanas serta UiTM Kota Bharu.

Di Petaling Jaya, kluster sektor pendidikan turut melibatkan beberapa buah sekolah jenis kebangsaan Tamil di Shah Alam.

“Jangkitan Covid-19 ini (kluster sektor pendidikan) berlaku melalui rakan sekerja atau kontak sosial,” kata Adham dalam sidang media hari ini.

“Pasukan kesihatan akan digerakkan untuk membuat siasatan kes atau kluster, pengesanan kes dan kontak, menyelia pihak sekolah dalam menjalankan pembersihan dan disinfeksi.

Beliau berkata pejabat kesihatan daerah (PKD) juga akan mengadakan penilaian kesihatan dan risiko bagi memastikan setiap kluster dapat dikawal selia.

“Pihak PKD akan membuat penilaian risiko dan kesihatan secara menyeluruh bagi memastikan pengurusan kes dan kluster dapat dijalankan dengan sebaik mungkin,” katanya.

“Daripada penilaian tersebut, pentadbiran sekolah akan dinasihatkan oleh jabatan kesihatan daerah untuk penutupan sesi persekolahan atau kelas yang ada kes positif sebagai langkah pencegahan.

“Sekolah-sekolah atau kelas boleh dibuka semula jika langkah-langkah pencegahan telah dibuat,” katanya lagi.