Sunday, June 20, 2021

PN talian hayat, MIC cuba keluar dari naratif ‘abang besar’ Umno

Hanya memiliki satu kerusi Parlimen, MIC tidak ada apa-apa yang perlu ditakutkan ketika bereksperimen dengan gabungan politik lain.

Other News

Perwakilan-perwakilan yang hadir di Perhimpunan Agung MIC ke-74 semalam dilihat gembira dengan pendirian diambil presiden parti itu untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, walaupun Umno, rakannya dalam Barisan Nasional (BN) tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mereka memberitahu MalaysiaNow, kini tiba giliran MIC yang sentiasa setia dengan “abang besar” Umno dalam gabungan BN untuk mendukung era baru permuafakatan politik di mana tidak ada lagi parti yang boleh membentuk kerajaan secara bersendirian.

Ketua MIC Rawang Mathuraiveran Marimuthu yang juga ahli jawatankuasa pusat berkata rakyat Malaysia sudah merasai hidup di bawah dua kerajaan dalam jarak waktu yang sangat dekat, dan mereka juga tidak dapat membuat perbandingan.

“Rakyat sudah tengok sendiri kerajaan yang stabil selama 60 tahun, dan mereka juga boleh tengok kerajaan tidak stabil selama 22 bulan,” katanya merujuk pentabiran BN dan Pakatan Harapan (PH) yang tumbang tahun lepas.

Mathuraiveran berkata, parti-parti politik seperti MIC harus lebih bijak dalam memilih sekutu untuk mendapat manfaat secara politik.

“Jadi, saya fikir presiden buat keputusan betul hari ini untuk sokong perdana menteri dan PN,” katanya.

Pimpinan MIC juga turut dilihat lantang mengecam pemimpin Umno kebelakangan ini, hal ini juga boleh dilihat sebagai perkembangan yang jarang berlaku kerana MIC masih dianggap “adik kecil” kepada parti Melayu itu.

Umno juga sudah lama memainkan peranan sebagai “abang besar” dalam gabungan BN kerana sering keputusan Umno menjadi dasar yang diterima pakai rakan-rakan sekutu politiknya.

Sebagai contoh, presiden Umno secara automatik akan turut dilantik menjadi pengerusi BN, bahkan turut layak menjadi perdana menteri sementara parti-parti komponen lain dilantik di jawatan yang lebih rendah.

Bahkan, ketika pimpinan Umno teruk ditohmah berhubung hala tuju dan masa depan parti. Mereka masih tetap mahu dilihat berada di posisi dominan.

Selain dari Umno, BN kini hanya dianggotai MIC dan MCA selepas beberapa parti di Sarawak termasuk Gerakan meninggalkan gabungan itu selepas kalah pada 2018.

Bahkan, MCA dan MIC sendiri turut dilihat menjarakkan diri dari kenyataan-kenyataan pemimpin Umno termasuk serangan mereka terhadap Muhyiddin.

Ramai ahli MIC kagum dengan kenyataan Muhyiddin dalam ucapan khas di hadapan seluruh perwakilan parti.

Semalam, presiden Bersatu itu berucap di hadapan perwakilan MIC, mengatakan sudah tiada lagi parti dominan dalam era baru politik negara, berbeza dengan Umno di perhimpunan agungnya yang mahu terus menjadi dominan dalam pentadbiran kerajaan.

Mathuraiveran turut menambah sukar baginya untuk mempercayai dakwaan pemimpin-pemimpin Umno bahawa parti itu masih lagi kukuh.

“Saya fikir, ekamer janganlah terlebih yakin sangat. Mesti turun ke akar umbi nilai sendiri kekuatan boleh atau tidak berjalan sendirian,” katanya kepada MalaysiaNow.

Tidak ubah seperti MCA, MIC turut menyaksikan kehilangan sokongan undi tradisinya kerana ramai dalam kalangan kaum India menyokong pembangkang.

Antara yang menyumbang hilangnya sokongan kepada MIC adalah parti itu sentiasa dilihat tunduk dengan kehendak-kehendak Umno.

Bagaimanapun ketika ini, pemimpin parti itu seakan menyedari wujud harapan pada Muhyiddin, lebih-lebih lagi dalam soal mendapatkan kesetaraan dalam tawar-menawar ketika ia mewakili masyarakat minoriti.

Hanya memiliki satu kerusi Parlimen, MIC tidak ada apa-apa yang perlu ditakutkan untuk bereksperimen dengan gabungan politik lain.

Ia adalah demi survival dan kembali menjadi relevan.

Laporan tambahan oleh Siva Selan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles