- Iklan -
Berita

PN gerak jentera bantu GPS menang PRN Sarawak

Kedua-dua gabungan politik akan memantapkan kerjasama bagi memastikan kemenangan GPS di Sarawak.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Muhyiddin Yassin keetika lawatan rasmi dua hari ke Sarawak. Gambar: Bernama
Muhyiddin Yassin keetika lawatan rasmi dua hari ke Sarawak. Gambar: Bernama

Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) sebulat suara bersetuju untuk menggerakkan jentera serta akar umbi gabungan politiknya bagi membantu GPS memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

Keputusan tersebut diambil selepas mesyuarat yang dihadiri pimpinan parti PN semalam susulan lawatan dua hari perdana menteri ke Sarawak minggu lalu.

“Kedua-dua pemimpin tertinggi parti itu juga komited untuk memantapkan lagi kerjasama politik antara Perikatan Nasional dan GPS di masa hadapan.

“Majlis Tertinggi Perikatan Nasional sebulat suara bersetuju untuk menggerakkan jentera serta akar umbi parti di setiap peringkat bagi membantu GPS memenangi pilihan raya DUN Sarawak akan datang,” kata Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin dalam sebuah kenyataan hari ini.

Pimpinan PN turut menzahirkan penghargaan tinggi kepada Ketua Menteri Sarawak kerana menyambut baik perdana menteri dalam lawatannya selain komitmen pentadbiran pusat dan kerajaan negeri untuk memantapkan lagi kerjasama.

“Keakraban yang ditunjukkan oleh kedua-dua pemimpin tertinggi parti sepanjang lawatan rasmi tersebut membuktikan bahawa persefahaman politik antara dua parti berada pada tahap yang amat baik.” katanya lagi.

Ketika lawatan perdana menteri ke Sarawak, Ketua Menterinya, Abang Johari Openg telah menyatakan sokongan penuh kerajaan negeri terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagi menerajui negara.

Ketika menzahirkan sokongan itu, Ketua Menteri Abang Johari Openg yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), berkata pihaknya yakin terhadap kepimpinan Muhyiddin yang memberi penekanan kepada pentingnya kestabilan negara.

GPS yang dipimpin Johari, dianggotai empat parti tempatan yang membentuk kerajaan negeri itu. Ia ditubuhkan selepas PRU14 yang menyaksikan kekalahan Barisan Nasional sekali gus hilang kuasa pentadbiran kerajaan.

Selain Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti lain dalam GPS yang ditubuhkan pada Jun 2018 itu ialah Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).