- Iklan -
Berita

Penganut Kristian Sarawak syukur raikan Good Friday, Hari Easter dalam talian

SOP kesihatan menjadikan misa dilaksanakan dalam talian, namun tidak semua orang miliki akses internet untuk sertai acara siaran langsung itu.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Suasana lengang di gereja yang terletak di Kuching, Sarawak.
Suasana lengang di gereja yang terletak di Kuching, Sarawak.

Setiap kali Good Friday tiba, Grace Brandah akan menjalani hari itu dengan rutin ritual biasanya.

Dia akan berpuasa sepanjang hari dan kemudian pergi ke gereja untuk misa malam.

Namun, tahun ini sedikit berbeza, Covid-19 mengubah hari penganut Kristian seperti Grace.

Grace tinggal di Kampung Mambong, di Kuching, Sarawak.

Seperti beberapa negeri lain, Sarawak masih berada di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Ini bermakna, prosedur operasi standard (SOP) ketat dan langkah-langkah kesihatan untuk membendung penyebaran Covid-19 juga dilaksanakan di negeri ini.

Di zon hijau dan kuning, gereja-gereja dibenarkan untuk dibuka dengan kapasiti 50% dengan syarat pelaksanaan penjarakan fizikal sesama ahli kariah.

Bagaimanapun, Kuching masih dikategorikan sebagai zon merah.

Gereja di zon ini hanya membenarkan 20 orang untuk masuk ke dalam gereja pada satu-satu masa.

Bilangan itu sangat kecil berbanding ribuan orang yang biasanya akan menghadiri misa Minggu Suci, kata Uskup Agung Kuching, Simon Poh kepada MalaysiaNow.

Sebelum pandemik Covid-19 diumumkan, gereja Simon akan dipenuhi dengan kehadiran 3,000 hingga 4,000 orang bagi setiap misa yang dijalankan beliau.

“Bahkan tempat letak kereta pun dipenuhi mereka yang datang untuk hadir dalam misa gereja,” katanya.

Namun ketika ini, hampir kesemua ritual gereja digerakkan secara dalam talian.

Misa dan ceramah disiarkan secara langsung ke rumah ahli kariah menggunakan aplikasi internet.

Ketika hujung minggu bagi menyambut Hari Easter, kira-kira 25,000 hingga 30,000 ahli kariah mengikuti program acara misa gereja dalam talian.

Minggu ini adalah Minggu Suci bagi penganut Kristian, ia dimulakan dengan Palm Sunday minggu lalu dan berakhir dengan Hari Easter yang jatuh pada hari ini, Simon menjangka kira-kira 70,000 jemaah akan mengikuti siaran langsung acara misa gerejanya di talian.

Selain hanya 20 orang dibenarkan menghadiri acara misa secara fizikal, gereja juga harus dipantau bagi memastikan pematuhan ketat SOP kesihatan.

“Walaupun tidak boleh berhimpun di gereja-gereja yang terletak di zon merah dan oren, 20 pemimpin gereja yang dilantik akan berdoa sepanjang Minggu Suci ini bagi mewakili kita semua, orang Sarawak, negara kita dan dunia sepanjang wabak global ini,” kata Simon.

Penganut Kristian seperti Grace yang terpaksa mengikuti acara gereja dari rumah bagaimanapun tetap menyatakan syukur kerana teknologi banyak memudahkan ketika ini.

Namun, hari semua orang boleh berhimpun dan berdoa beramai-ramai adalah hal yang paling dinantikan mereka.

“Perasaan gembira adalah waktu dapat pergi acara misa dan penghormatan salib,” kata wanita berusia 24 tahun itu kepada MalaysiaNow.

Terkurung sepanjang Minggu Suci

Di Siburan, sebuah bandar kecil di Serian, Kampung Chupak dan Kampung Batu Gong terpaksa menjalani PKPD sejak 27 Mac lalu.

Ia adalah perintah kawalan pergerakan paling ketat dengan pelaksanaan SOP larangan keluar dan masuk dari kawasan perumahan dan akan berakhir 9 April depan .

Limping Ak Engki, ketua Kampung Batu Gong berkata ramai penduduk di kawasan itu kini menghadapi masalah kewangan yang besar.

“Sepanjang Minggu Suci, PKPD ganggu kerja harian saya,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Saya tidak ada pekerja untuk bantu menuai hasil tanaman. Sekarang, dengan PKPD, apa yang boleh saya lakukan hanya tinggal di rumah.”

Limping turut melahirkan rasa terkilan kerana liputan internet yang perlahan di kampung menyebabkan mereka tidak dapat menonton siaran langsung acara di gereja.

“Biasanya kita kumpul di gereja untuk Good Friday dan kemudian Hari Easter,” katanya.

“Sekarang, dengan PKPD ini, banyak gereja buat acara secara dalam talian, tetapi masalahnya, kawasan saya tak ada liputan internet.”

Pakon Ak Amit dari Kampung Chupak berkata dia sedar PKPD yang dijalankan ketika ini adalah demi kebaikan penduduk kampung.

Namun beliau juga arif bagaimana kesannya terhadap kehidupan seluruh penduduk kampung.

“Kami dah tak boleh pergi pasar atau kerja,” katanya.

“Pandemik ini betul-betul jejaskan kami yang bergantung dengan gaji harian.”