- Iklan -
Berita

Penduduk kampung pedalaman Kedah hidup ketakutan kerana projek kuari

Penduduk kampung mahu projek kuari dibatalkan kerana jarak kawasan aktiviti kuari dengan kediaman penduduk kurang dari tiga kilometer.

Fadila Awaludin
3 minit bacaan
Kongsi
Penduduk kampung, Ismail menunjukkan lubang yang telah dikorek dan mendakwa akan diletakkan bahan letupan.
Penduduk kampung, Ismail menunjukkan lubang yang telah dikorek dan mendakwa akan diletakkan bahan letupan.

Hampir 1,500 penduduk Kampung Padang Che Mas, Baling, Kedah membantah projek kuari sebuah syarikat kerana bimbang ia akan mencemarkan alam sekitar selain membahayakan kehidupan mereka.

Aktiviti kuari itu dirancang beroperasi di sepanjang kaki Gunung Baling hingga kaki Gunung Pulai – sebuah kawasan yang disahkan penduduk kampung sebagai zon hijau.

Ketika ditemui MalaysiaNow, penduduk kampung Abdul Mutalib Zakaria berkata kawasan itu juga turut terkenal dengan eko pelancongan.

Abdul berharap projek itu dibatalkan kerana melihat kepada jarak kawasan aktiviti pengkuarian dengan tanaman dan kediaman penduduk kurang daripada tiga kilometer.

Mutalib turut merasakan dirinya ditipu apabila dimaklumkan kehadiran jentolak membuka kawasan tersebut bertujuan melakukan kajian.

Pandangan dari jauh, kelihatan seperti runtuhan berlaku di kawasan baru pada Gunung Pulai.

“Ketika ditemui mereka mengatakan tujuan laluan tersebut disebabkan kerana ingin mengambil beberapa contoh batuan sebagai kajian.

“Awalnya jarak laluan dari kaki gunung hanya satu kilometer tetapi kini sudah mencecah lebih tiga kilometer hingga ke puncak,” katanya.

Dianggarkan keluasan tapak pengkuarian seluas 26.2 hektar yang merangkumi daripada kaki Gunung Baling hingga ke kaki Gunung Pulai.

Tiada rekod kelulusan

Seorang lagi penduduk kampung Mohd Khairi Zakaria berkata pihak pejabat tanah daerah Baling memaklumkan tidak memiliki rekod kelulusan untuk membenarkan sebarang aktiviti kuari dijalankan di kawasan tersebut.

“Saya ingin mempersoalkan kepada pihak berwajib mengenai bagaimana projek ini boleh lulus sedangkan tiada rekod kelulusan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Sejujurnya saya berasa membantah sekerasnya aktiviti pengkuarian ini dan bagaimana syarikat itu terlalu bongkak, angkuh, sombong boleh berani masuk ke dalam kawasan kami tanpa pengetahuan pegawai daerah Baling.

“Sedangkan untuk menubuhkan kuari pasti pihak pejabat daerah dan pejabat tanah dan alam sekitar mesti berbincang sebelum buat keputusan,” katanya.

Katanya, pada masa sama Menteri Besar Kedah Muhammad Sanudi Md Nor memaklumkan kepadanya mengenai pembatalan kuari di Gua Sirih.

Antara jentera yang digunakan bagi aktiviti kuari.

“Perkara itu sudah lama sekitar tahun 1970-an yang mana penempatan tidak sepadat sekarang, ia berbeza berbanding sekarang,” katanya.

Khairi menunggu keputusan daripada kerajaan negeri selepas menghantar memorandum ke pejabat menteri besar, exco alam sekitar, pengarah jabatan alam sekitar dan pengarah jabatan tanah dan galian negeri Kedah.

“Saya sendiri sudah menghubungi Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man dan beliau meminta penduduk kampung bersabar sehingga mendapat reaksi daripada kerajaan negeri.

“Katanya perkara ini perlu dirujuk kepada kerajaan negeri terlebih dahulu.”

Ketika tinjauan MalaysiaNow pada penghujung Mac lalu, aktiviti kuari dihentikan namun kesannya masih boleh dilihat.

Bunyi seakan-akan bom

Kamarudin Azit yang merupakan penduduk kampung itu membantah projek tersebut kerana bimbang akan menggugat keselamatan penduduk.

“Sewaktu sedang mengumpul hasil getah saya terdengar bunyi letupan yang sangat kuat seakan bom sehingga menyebabkan saya terkejut dan hampir terjatuh.

“Lebih membahayakan kedudukan ladang getah yang berbukit dan curam boleh menyebabkan kemalangan sekiranya panik,” kongsi Kamarudin mengenai kejadian letupan yang berlaku sekitar tiga atau empat kali.

Katanya, akibat letupan itu, sisa batuan yang runtuh mengenai beberapa kawasan kebun dan ladang milik penduduk setempat.

Aktiviti pengkuarian itu turut mendapat perhatian aktivis alam sekitar, Sahabat Alam Sik (SAS) Mohd Sobri Ramlee.

Dua penduduk kampung, Ismail (kiri) dan Abdul Mutalib Zakaria melihat kerosakan di kawasan kaki Gunung Baling.

Katanya, perkara tersebut bukan sahaja menjejaskan eko sistem hidupan flora dan fauna tetapi juga menyebabkan pencemaran bunyi serta habuk.

“Gunung Baling adalah mercu tanda di daerah Baling dan jika kuari tersebut dilakukan maka ia akan lenyaplah.

“Sekolah Kebangsaan Tunku Putra yang berada kira-kira 1.8 kilometer dari tapak kuari adalah tempat berlakunya Rundingan Baling 1955 turut terkesan dari pencemaran bunyi habuk, getaran dan mencacatkan pemandangan sekitar.

“Penduduk sekitar menyatakan letupan pertama telah berlaku pada 15 Mac 2021 dan memberi kesan trauma kepada kanak-kanak dan warga emas,” tulisnya di Facebook.

Katanya, aktiviti kuari bukan sahaja memberikan kesan kepada manusia, haiwan ternakan seperti kambing, lembu, kerbau ayam turut menjadi mangsa selain turut menjejaskan sumber pendapatan penduduk.

“Proses letupan dan eskstrak batu kapur ini akan menghasilkan partikel halus yang bertebangan di udara dan menurut pakar ia boleh menyebabkan kanser paru-paru dan menyebabkan kematian.

“Kawasan pelancongan seperti Gua Sireh yang menjadi tumpuan menyimpan pelbagai sejarah dan artifak yang boleh diteroka dan dikaji.

“Jabatan Warisan Negara juga telah menemui artifak yang berusia 17,000 tahun di sekitar gua di Gunung Pulai,” katanya.