- Iklan -
Berita

Bersatu gesa SPR segerakan pelaksanaan Undi18

Bersatu mahu orang muda terlibat dalam politik negara.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bersatu menegaskan bahawa parti itu mengiktiraf peranan serta penglibatan aktif anak muda dalam politik dan kemasyarakatan. Gambar: Bernama
Bersatu menegaskan bahawa parti itu mengiktiraf peranan serta penglibatan aktif anak muda dalam politik dan kemasyarakatan. Gambar: Bernama

Bersatu menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyegerakan pelaksanaan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun bagi rakyat Malaysia.

“Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu menegaskan bahawa parti mengiktiraf peranan serta penglibatan aktif anak muda dalam bidang politik dan aktiviti kemasyarakatan,” kata Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan hari ini.

“Sehubungan itu, Bersatu menyeru SPR untuk menyegerakan pelaksanaan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 berhubung kelayakan mengundi pada usia 18 tahun.”

Bulan lalu SPR mengatakan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Pengerusi Abdul Ghani Salleh, berkata pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Kenyataan SPR itu mengundang pelbagai reaksi daripada pemimpin-pemimpin kerajaan dan pembangkang.

Menteri Penerangan Saifuddin Abdullah menyifatkan alasan yang diberikan SPR itu sebagai alasan kuno.

Sementara kementerian belia dan sukan (KBS) mengemukakan cadangan kepada Kabinet untuk mengasingkan proses hak mengundi kepada mereka yang berumur 18 tahun dan pendaftaran pemilih automatik.

Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican berkata, SPR diharap dapat melaksanakan usaha itu dengan segala formula dan ruang yang ada, memandangkan semua anggota Kabinet hari ini menyokong Undi18.

Sementara pembangkang Pakatan Harapan (PH) dan aktivis badan bukan kerajaan mengadakan bantahan di Parlimen pada hujung bulan lalu.