Sunday, September 26, 2021

Apakah Malaysia bakal kehilangan tapak warisan tamadunnya sekali lagi?

Kerja keras bagi mengungkap sejarah tamadun di tapak arkeologi Sungai Batu sedang berjalan, namun akibat ketiadaan azam politik, ia mungkin lenyap selama-lamanya.

Other News

Malaysia mungkin kehilangan satu lagi tinggalan warisan sejarah atau tapak arkeologi terpenting tamadun kuno sekiranya tidak ada pihak berpengaruh tampil mempertahankannya.

Tapak arkeologi Sungai Batu di Kedah itu mungkin banyak kali menyaksikan silih bergantinya generasi dan tamadun.

Malangnya, usia warisan ketamadunan bangsa itu mungkin dibunuh generasi moden hari ini.

Bahkan ia mungkin lenyap selama-lamanya sebagai sebuah lagi tinggalan sejarah peradaban Nusantara.

Tapak seluas empat kilometer persegi itu terletak di kawasan ladang perusahaan kelapa sawit di Sungai Petani, satu kawasan tapak arkeologi yang ditemui penyelidik sejak 2009, ia adalah penemuan tapak tinggalan tamadun kuno berusia 2,000 tahun.

Ia juga direkodkan sebagai sebuah peninggalan tamadun yang tidak pernah direkod sebelum ini.

Aktiviti peleburan besi turut ditemui di tapak arkeologi. Gambar: Facebook

Peninggalan itu dipercayai sebagai peninggalan purba yang lebih tua dari Angkor Wat di Kemboja dan Borobudur di Indonesia yang dicatatkan dibina pada abad ke-9 dan ke-12.

Tapak itu juga diisytiharkan sebagai tinggalan peradaban tertua di Asia Tenggara oleh lima badan arkeologi yang mewakili peradaban utama di dunia, iaitu Mesopotamia, Indus, Mesoamerika , China, dan Rom.

Manusia yang pernah tinggal di sana hilang sejak berabad-abad yang lalu selepas zaman baru atau kontemporari muncul.

Selepas sekian lama ditinggalkan, tapak itu ditumbuhi hutan dan binaan strukturnya sukar disingkap pandangan.

Kehadiran zaman moden menyaksikan tapak itu kemudiannya diratakan bagi memulakan penanaman ladang getah, dan kemudian ia ditukar kepada ladang kelapa sawit yang ketika ini mengelilinginya.

Kawasan tapak arkeologi di Sungai Batu, Kedah. Gambar: Facebook

Pengarah dan Profesor Madya Pusat Arkeologi Global (PPAG) USM, Dr Mokhtar Saidin berkata artifak yang digali itu menyingkap banyak rahsia kepada dunia moden.

“Kita mempunyai bukti kewujudan peradaban di sana seawal 50SM, bahkan kami tidak menolak kemungkinan jangka waktu itu lebih awal. Oleh itu, tapak Sungai Batu, berdasarkan jangka masa usianya, merupakan peradaban tertua di Asia Tenggara.”

Mokhtar turut berkata ahli arkeologi menemui sisa-sisa kegiatan peleburan besi dan sebuah jeti sungai, yang menunjukkan wujudnya aktviti perdagangan.

Tapak itu juga, katanya, jelas merupakan kawasan sejarah dan arkeologi yang penting ketika ini.

Malangnya, bukan sahaja ia tidak dilindungi, sejak 2008 beberapa penempatan setinggan didirikan di kawasan tersebut dan ia hanya dipisahkan dengan sebuah pagar.

Penempatan setinggan itu juga menjadi sebab kawasan tapak itu sukar ditemui.

Namun, masalah turut berlaku apabila kawasan penempatan setinggan itu didirikan di tanah milik kerajaan negeri sementara tapak arkeologi tersebut diselia kerajaan persekutuan.

“Penempatan itu terdiri dari 20 rumah dan terletak kurang dari 10 meter di mana kerja-kerja arkeologi dilakukan,” kata seorang aktivis tempatan, Nur Dini.

Katanya lagi, sekiranya pelawat datang, pemandangan pertama yang dilihat adalah sebuah madrasah setinggan tahfiz al-Quran.

“Pada tahun 2014, kerajaan Kedah memberikan arahan supaya madrasah tersebut berpindah namun pihak madarasah menuntut pampasan sebanyak RM1 juta bagi berpindah dari kawasan itu,” kata Nur Dini kepada MalaysiaNow.

“Ini bermaksud penempatan itu akan terus ada, sementara para penyelidik pula terpaksa memindahkan barang-barang penyelidikan dan semua peralatan ke tempat lain,” katanya.

Baru-baru ini, kerajaan negeri turut meluluskan rancangan untuk membina sebatang jalan di kawasan penempatan tersebut merentasi tapak arkeologi.

Nur Dini menambah, para penyelidik dibenarkan untuk meninjau kawasan pembinaan jalan tersebut bagi memastikan tiada artifak kuno yang tertimbus ketika ia dibina.

“Masalahnya adalah, para penyelidik tidak dapat periksa tanah secara menyeluruh ekoran kawasan penempatan itu dan bangunan tahfiz,” katanya.

“Ia terletak di depan tapak arkeologi itu yang kita tahu mengandungi tinggalan sejarah yang tidak ternilai.”

Nur Dini turut menyiarkan isu tersebut di akaun media sosialnya.

Dia menyentuh isu pembinaan jalan raya dan ancaman lenyapnya sebuah kawasan artifak berharga negara.

Susulan itu, ia menjadi topik hangat bagi peminat sejarah tanah air.

Dalam sebuah respons, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini berkata kerajaan negeri sedang berusaha untuk mencari jalan keluar kepada masalah tersebut.

Namun, beliau berkata sebahagian besar penduduk miskin kawasan setinggan itu sukar untuk berpindah rumah.

MalaysiaNow masih berusaha menghubungi Mokhtar untuk mendapatkan ulasan mengenainya.

Sebelum ini, Mokhtar turut mendedahkan mengenai kehilangan tragik begitu banyak artifak di Sungai Batu.

Menurutnya, perkara itu berlaku berpunca daripada penempatan haram dan aktiviti rawatan tanah dalam aktiviti perladangan.

“Sepatutnya ada lebih banyak sisa tinggalan, seperti manik dan perkakas. Saya pasti sudah ada orang curi.

“Sebenarnya, hampir satu meter tanah atas, artifak-artifak pada lapisan itu dikeluarkan,” katanya.

Selain itu, Mokhtar turut menambah usaha penggalian dimulakan tepat pada waktunya.

“Sekiranya kita tiba lewat, semua penemuan itu pasti sudah hilang.”

Penempatan itu bukan satu-satunya ancaman yang perlu dihadapi tapak tinggalan kuno tersebut.

Nur Dini berkata sebahagian besar tapak itu juga adalah milik sebuah syarikat pemaju.

“Wujud perancangan untuk membina projek perumahan di lokasi tapak itu ditemui. Seorang pemaju telah menjadi pemilik tanah itu ketika kerja-kerja penggalian bermula,” katanya lagi.

“Jentera pemaju juga sudah siap untuk beroperasi, namun setelah mengadakan pertemuan dengan exco negeri, pemaju menangguhkan projeknya.

“Mereka menunggu kerajaan negeri membeli tanah mereka itu,” katanya.

Satu insiden juga pernah berlaku berkenaan tapak arkeologi tersebut menunjukkan kurangnya kesedaran wujud ancaman struktur sejarah di tapak itu dilenyapkan.

Pada 2013, tapak arkeologi yang dinamakan Kuil No 11 di kawasan diratakan dan lenyap sama sekali pada tahun 2013 ketika kerja pembinaan dilaksanakan.

Profesor di Institut Pemikiran dan Peradaban Islam Antarabangsa (ISTAC) Ahmad Murad Merican berkata kerajaan perlu bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan isu tersebut demi mempertahankan tinggalan sejarah negara.

“Sebuah akta arkeologi yang komprehensif diperlukan bagi mentadbir kerja-kerja di sana dan mengatur penyelidikan, penggalian, pemeliharaan, pemuliharaan, promosi, kemudahan, dan juga kewangan yang diperlukan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Semua itu harus berada di bawah satu bidang kuasa. Akta itu juga harus dilaksanakan oleh sebuah jawatankuasa dan bidang kuasa mereka sepatutnya mengatasi kerajaan tempatan dan negeri.”

Beliau menambah kerajaan harus memandang perkara ini sebagai sebuah pelaburan tetap yang bukan sekadar dapat menarik pelancong, apa yang perlu dilakukan adalah memperkaya naratif besar negara ini.

“Kita harus promosikan fakta bahawa Malaysia bukan baru berumur 60 tahun, usianya bahkan melangkaui 2500 tahun.

“Namun kita harus mulakan sekarang,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles