Saturday, May 8, 2021

Tiada parti dominan dalam era baru politik negara, kata PM

Dalam era politik baru, semua parti berperanan dan menyumbang untuk menjaga kebajikan rakyat dan memajukan negara. 

Other News

Tiada parti yang dominan dalam era baru politik negara hari ini, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

“Kita memasuki era baharu dalam politik negara kita,” kata Muhyiddin dalam ucapan secara maya sempena Perhimpunan Agung MIC hari ini.

“Tidak ada mana-mana parti yang boleh mendakwa bahawa merekalah parti yang paling dominan dan lebih berhak untuk memegang tampuk kuasa dengan memperkecilkan peranan parti-parti lain. Ini politik lama.”

Kenyataan Muhyiddin itu dikeluarkan seminggu selepas Perhimpunan Agung Umno yang menyaksikan desakan agar parti Melayu itu kembali menjadi dominan.

Selain itu, Umno turut memutuskan hubungan dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selain mendesak menteri-menterinya meletakkan jawatan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Muhyiddin berkata, dalam era politik baru ini, semua parti mempunyai peranan dan sumbangan yang sama penting untuk menjaga kebajikan rakyat dan memajukan negara.

“Kerana itu, kita perlu mengamalkan budaya politik yang berasaskan kepada persefahaman, perundingan dan konsensus dalam mencari jalan terbaik untuk memelihara kestabilan politik, membela nasib rakyat dan memacu kemajuan negara,” katanya.

“Dalam apa sahaja hala tuju politik yang diambil oleh parti politik, pertimbangan utamanya mestilah kepentingan rakyat dan negara, bukan kepentingan individu atau kelompok yang kecil.”

Muhyiddin berkata, semua parti politik termasuk MIC perlu mengambil kira kepentingan rakyat dan negara dalam menentukan hala tuju.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MIC yang terus memberikan sokongan kepada kerajaan PN.

“Ini adalah satu tindakan yang rasional kerana dengan sokongan MIC ini, kerajaan Perikatan Nasional dapat terus berfungsi dengan baik dalam mentadbir negara dan memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat, terutamanya dalam waktu yang sukar ini.”

Muhyiddin berkata, beliau berharap sokongan MIC kepada PN, bukan sahaja pada masa ini, tetapi juga pada masa yang akan datang.

“Saya percaya sekiranya kita berada pada landasan yang sama, dalam saf yang sama, kita akan dapat bersama-sama menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara yang pastinya akan memberikan manfaat besar kepada semua rakyat tanpa mengira kaum.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles