- Iklan -
Berita

Pujian buat menteri Umno kerana kekal berkhidmat walau ditekan pimpinan parti

Sikap menteri Umno yang kekal menjalankan tugas kementerian bagi memerangi Covid-19 dianggap sebagai waras dan bijak oleh penganalisis politik.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Menurut penganalisis, keputusan menteri Umno kekal dalam kerajaan itu juga menunjukkan wujud "pemberontakan senyap" dalam parti itu.
Menurut penganalisis, keputusan menteri Umno kekal dalam kerajaan itu juga menunjukkan wujud "pemberontakan senyap" dalam parti itu.

Menteri-menteri Umno berhak mendapat pujian kerana terus kekal dalam Kabinet Perikatan Nasional (PN) walau ditekan pimpinan parti supaya meletakkan jawatan.

Sekurang-kurangnya tiga menteri Umno diberi peranan besar dalam kerajaan ketika ini dengan mengetuai beberapa portfolio penting bagi memerangi pandemik Covid-19.

Selain Dr Adham Baba sebagai menteri kesihatan, Ismail Sabri Yaakob dan Khairy Jamaluddin adalah antara menteri Umno yang dilantik kerajaan bagi mengemudi usaha negara mencapai imuniti kelompok menerusi program vaksinasi kebangsaan.

Susulan gesaan dari pimpinan tertinggi Umno supaya parti itu meninggalkan pentadbiran kerajaan ketika ini turut menyebabkan mereka menghadapi tekanan untuk meletak jawatan.

Ini kerana, sekiranya mereka tidak meletak jawatan, mereka dituduh atau dianggap membelakangi keputusan dan kemahuan pemimpin parti.

Bagaimanapun, dalam pertemuan terbaru mereka dengan Muhyiddin Yassin, menteri-menteri Umno akhirnya mengambil keputusan kekal meneruskan tugas walaupun pelbagai tohmahan dan retorik ditujukan terhadap perdana menteri dalam perhimpunan agung parti itu hujung minggu lalu.

Ahli sains politik, Chandra Muzaffar berkata keputusan yang diambil menteri-menteri Umno untuk kekal dalam Kabinet adalah betul mengikut Perlembagaan.

“Dalam sistem demokrasi kita, menteri adalah lantikan prerogatif perdana menteri. Jika dia mahu kekalkan seseorang, dia ada kuasa untuk kekalkan. Anda tak perlu ikut pemimpin parti, kerana ia adalah lantikan perdana menteri,” katanya kepada MalaysiaNow.

Chandra menambah, perdana menteri juga mempunyai kuasa untuk melantik sesiapa sahaja menyertai Kabinet termasuk mereka yang tidak bersama mana-mana parti politik.

“Realitinya, parti tak ada kuasa, yang ada kuasa perdana menteri,” katanya dan menambah kebanyakan menteri ini memegang jawatan kritikal yang memainkan peranan penting ketika krisis ekonomi melanda pada ketika ini.

Pemerhati politik Melayu, Kamarul Zaman Yusoff pula berkata peletakan jawatan bagi disesuaikan dengan suara-suara lantang di dalam Perhimpunan Agung Umno akan mengganggu tumpuan kerajaan untuk memerangi Covid-19 dan usaha memulihkan ekonomi negara.

Kamarul berkata Muhyiddin dengan jelas tidak bermain politik ketika menggesa menteri-menteri Umno kekal dalam pentadbirannya.

“Sekiranya pertimbangan politik yang menjadi perkiraan perdana menteri, maka sudah tentu beliau akan meminta menteri Umno meletakkan jawatan dan melantik ahli Parlimen dari Bersatu atau dari parti-parti komponen PN yang lain sebagai pengganti,” katanya.

Shamsul Amri Baharuddin dari UKM menyifatkan tindakan menteri dan timbalan menteri Umno yang menolak keinginan pemimpin Umno sebagai satu keputusan yang waras dan bijak.

“Kepentingan peribadi pemimpin Umno yang tercemar ditolak oleh menteri tersebut. Mesti dibezakan keputusan Umno untuk bercerai dengan Bersatu semasa PRU15 dengan kononnya keputusan Majlis Tertinggi Umno yang lemah dan diisi oleh kepentingan-kepentingan peribadi pemimpin yang tercemar.

“Menteri Umno ternyata memihak kepada kepentingan rakyat dan negara yang sedang menghadapi cabaran pandemik yang lebih hebat dari tsunami,”katanya kepada MalaysiaNow.

Shamsul Amri berkata, keputusan untuk kekal dalam kerajaan itu juga menunjukkan wujud “pemberontakan senyap” terhadap pimpinan parti.

Sivamurugan Pandian dari USM berkata, tindakan menteri Umno itu tidak boleh dikatakan sebagai membelakangkan parti sendiri malah MKT juga tidak memutuskan bila mereka perlu buat keputusan walaupun beberapa pemimpin melontar pandangan mereka.

“Keutamaan adalah untuk membantu kerajaan selesaikan isu rakyat dan ini tidak bermakna pendirian parti dibelakangkan.

“Akar umbi akan memuji tindakan ini untuk tidak campur aduk urusan kerajaan dan parti,” katanya kepada MalaysiaNow.