- Iklan -
Berita

PN wakili semua kaum, kata Muhyiddin sambut sokongan PAS

Muhyiddin berkata Perikatan Nasional bukan hanya perjuangkan soal Melayu sahaja.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Muhyiddin Yassin dalam lawatan beliau ke hospital Kuching, Sarawak.
Muhyiddin Yassin dalam lawatan beliau ke hospital Kuching, Sarawak.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengalu-alukan sokongan terbaru daripada pimpinan PAS yang menggesa semua organisasi Islam menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) selain menekankan bahawa pentingnya gabungan politik kerajaan disokong oleh semua masyarakat.

“Yang pentingnya, sebagai sebuah parti yang mendukung perjuangan untuk negara, kita perlu mendapatkan sokongan daripada semua masyarakat dalam negara, tak kira siapa,” kata Muhyiddin kepada wartawan dalam lawatan yang ditemani Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg di hospital Kuching.

Beliau berkata sangat penting sokongan demikian wujud dalam kerajaan kerana gabungan PN adalah parti-parti yang mewakili semua kaum.

“Ini bukan soal orang Melayu sahaja,” katanya.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini tegas dalam sebuah kenyataan yang ditujukan terhadap Umno bahawa parti itu tidak akan menerima gesaan bagi meninggalkan PN, gabungan yang dianggotai PAS dan Bersatu pimpinan Muhyiddin.

Dalam pada itu, ketika memberikan respons berhubung langkah kerajaan persekutuan memulakan proses rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah “Allah” dalam penerbitan agama bagi tujuan pendidikan, Muhyiddin berkata beliau akan menyerahkan urusan tersebut kepada mahkamah.

“Proses rayuan masih berjalan, jadi kita nantikan keputusannya. Saya tak mahu keluarkan kenyataan peribadi berhubung isu ini kerana ia boleh jadi subjudis.

“Peguam negara sudah buat rayuan, jadi saya serahkan saja semua kepada mahkamah.”

Pada 15 Mac lalu, Putrajaya memulakan proses rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan larangan penganut Kristian daripada menggunakan perkataan “Allah” dan tiga lagi perkataan dalam penerbitan keagamaan Kristian.

Lima hari sebelum rayuan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan penganut Kristian menggunakan “Allah”, “Baitullah”, “Kaabah” dan “solat” dalam penerbitan bagi tujuan pengajaran.

Hakim Mahkamah Rayuan Nor Bee Ariffin yang bertindak sebagai hakim Mahkamah Tinggi, membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh seorang penganut Kristian warga Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill, yang memperjuangkan perkara itu di mahkamah sejak 13 tahun lalu.

Nor Bee dalam keputusannya berkata arahan yang dikeluarkan kementerian dalam negeri pada 1986 yang melarang penggunaan empat perkataan itu tidak selari dengan undang-undang dan tidak rasional.

Beliau juga berkata perkataan-perkatan tersebut boleh digunakan oleh masyarakat Kristian bagi tujuan pengajaran kerana ia digunakan di negeri itu lebih dari 400 tahun.