- Iklan -
Berita

Orang Asli bantah projek perlombongan nadir bumi di hutan Pahang

Orang Asli berkata kawasan hutan itu sudah diwartakan sebagai rizab hutan dan pencemaran akibat projek tersebut akan menjejaskan sungai sekitarnya.

Farhira Farudin
2 minit bacaan
Kongsi
Kawasan hutan di Pahang yang diterokai projek perlombongan nadir bumi. Gambar: PSM
Kawasan hutan di Pahang yang diterokai projek perlombongan nadir bumi. Gambar: PSM

Kira-kira 80 keluarga Orang Asli daripada komuniti Semai berharap pihak berkuasa mengambil tindakan berhubung bantahan mereka terhadap projek perlombongan nadir bumi yang boleh memusnahkan hutan warisan di Pahang selain bakal membahayakan kehidupan Orang Asli di kawasan tersebut.

Projek yang terletak di sekitar kawasan hutan di tengah semenanjung Malaysia itu juga bakal menyaksikan 660 hektar kawasan akan dilombong di bawah tiga pajakan.

Projek perlombongan tersebut diluluskan kerajaan negeri pada 2019 walaupun dinilai gagal ketika menjalani penilaian impak alam sekitar (EIA) selepas terma rujukannya (TOR) ditolak Jabatan Alam Sekitar pada bulan Mac.

Bercakap pada sidang media hari ini, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) A Sivarajan berkata proses yang berlaku setakat ini tidak menunjukkan bahawa projek itu akan dibatalkan.

“Jika (TOR) diluluskan pada fasa kedua, projek itu akan dimulakan. Bila EIA diluluskan, dalam dua tahun operasi tersebut mesti dimulakan,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri wakil Orang Asli Semai.

Sebelum ini, PSM telah menyuarakan bantahan mereka terhadap projek yang diselenggara syarikat Aras Kuasa Sdn Bhd itu.

Menurutnya, syarikat tersebut telah menyelesaikan fasa penerokaan tanah di kawasan tersebut.

Sepanjang fasa tersebut, lebih 18,000 tan lantanida ditemui, sejenis logam nadir bumi yang digunakan antara lain bagi menyaring minyak mentah kepada gasolin selain mampu menguatkan logam.

Projek tersebut diluluskan kerajaan negeri dengan syarat kawasan yang dinyahwarta perlu diganti dengan hutan lain dengan ukuran yang sama atau lebih besar.

Surat kelulusan juga turut menyatakan bahawa proses penyahwartaan itu perlu dimulakan sebaik sahaja Jabatan Tanah dan Galian negeri telah menemui kawasan hutan ganti.

Kebimbangan mengenai projek ini sebahagian besarnya berkait dengan alam sekitar.

Wakil Orang Asli berkata Sungai Telum dan anak sungai lain akan terancam disebabkan pencemaran ekoran projek perlombongan yang dijalankan.

Sungai Telum adalah kawasan tadahan air yang membekalkan air bagi penduduk kampung hingga ke daerah Kuala Lipis.

Hal ini bermaksud, sebarang pencemaran sungai di kawasan itu akan mempengaruhi komuniti berdekatan yang lain, termasuk Orang Asli di Pos Lanai.

Mat Nor, wakil kumpulan Orang Asli Pos Lanai berkata Orang Asli tegas membantah projek tersebut dijalankan.

“Saya tidak peduli apa projeknya. Walaupun kerajaan negeri sudah berikan persetujuan, kita sebagai masyarakat Orang Asli menentangnya.”

Seorang penduduk kampung dari kawasan itu, Halijah turut bersetuju bahawa projek itu akan menjejaskan sungai yang sangat penting dalam kehidupan mereka.

“Di sinilah kita pergi memancing dan anak-anak kami mandi,” katanya.

“Sekiranya projek ini diteruskan, bagaimana kami akan cari makan? Bagaimana kami boleh teruskan kehidupan kami?”

Sementara itu, Sivarajan berkata kawasan hutan yang dimaksudkan adalah Hutan Jelai.

Ia adalah kawasan hutan yang dianggap sebagai hutan simpanan kekal di bawah Dasar Perhutanan Kebangsaan.

Dari kawasan seluas 660 hektar, 397 hektar dilindungi daripada sebarang gangguan pembalakan sementara selebihnya tidak boleh dibalak sepenuhnya.

“Mereka tidak boleh wartakan hutan simpan kekal sesuka hati mereka,” katanya.

“Mereka harus melalui siasatan terlebih dahulu namun kerajaan negeri telah berikan persetujuan untuk projek ini. Itulah persoalan yang kami hendak bangkitkan sekarang.”