- Iklan -
Berita

‘Nyanyilah lagu anak kecil main api’, Tuan Ibrahim beritahu Umno

Timbalan presiden PAS itu mempertikaikan tindak-tanduk Umno yang terlampau yakin memenangi pilihan raya tanpa rakan kerjasama politik.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Tuan Ibrahim mahu Umno mengamalkan politik mengumpul kawan bukan mengumpul musuh. Gambar: Bernama
Tuan Ibrahim mahu Umno mengamalkan politik mengumpul kawan bukan mengumpul musuh. Gambar: Bernama

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini mengeluarkan kenyataan keras menyasarkan pemimpin Umno berhubung penolakan parti itu untuk bekerjasama dengan Bersatu bagi pilihan raya akan datang selepas Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai bersama ketika menjadi pembangkang tidak dilihat dalam situasi ketika ini.

Tuan Ibrahim turut mempersoalkan keyakinan yang ditunjukkan pemimpin Umno, dan menganggap parti tersebut sudah melupakan asas kerjasama dalam permuafakatan politik di antara kedua-dua parti.

“Apakah kita rasa cahaya di hujung terowong yang dilihat cerah, maka lampu ditangan perlu dibuang?

“Apakah bila hujan berhenti, maka payung perlu dicampakkan? Hebatkah kita kerana merasai kita kuat dengan ahli berjuta, lalu kita rasa dahulu sama dengan sekarang?

“Apakah dua parti lebih baik dari tiga kerana mendapat lebih banyak kerusi untuk bertanding, lalu kita berangan-angan akan pasti menang?”kata Tuan Ibrahim menujukan persoalan kepada pemimpin Umno.

Kenyataan Tuan Ibrahim itu menyusuli kenyataan Abdul Hadi Awang hari ini yang menyimpulkan Umno sudah menyeleweng dari matlamat asal penubuhan MN selain turut mahu kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipertahankan.

Dalam kenyataan yang sama, Hadi turut menolak untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu, rakan politiknya dalam PN.

Tanpa menamakan Umno secara jelas, Hadi berkata PAS menolak kerjasama dengan mereka yang menunjukkan “tiada kesetiaan kepada negara dengan sifat melampau yang mencabar agama dan bangsa.

“Marilah bersama tawaran baharu ini iaitu berintegriti dan berkebajkan yang berpijak atas Perlembagaan Persekutuan yang meraikan masyarakat majmuk beragama dan berbangsa,” kata Hadi.

Tuan Ibrahim berkata MN dimeterai ketika Umno dan PAS berada dalam pembangkang dan menyasarkan untuk melindungi kepentingan Islam dan Melayu.

Bahkan, katanya, kedua-dua parti turut mendapat manfaat dari permuafakatan politik itu dalam siri pilihan raya kecil sejak 2018.

“Tujuannya agar tidak berlaku pertandingan tiga penjuru yang mengakibatkan PAS atau Umno kerugian. Maka sekiranya Umno masuk PRK maka PAS tidak akan menyertainya, begitulah sebaliknya.

Menurutnya, pembentukan MN dinyatakan dengan jelas bahawa PAS dan Umno adalah teras muafakat, namun sedia menerima mana-mana parti politik, atau NGO yang ingin bersama dalam usaha memperkukuhkan penyatuan ummah.

Namun, Tuan Ibrahim berkata Umno tidak memberikan respons mengenai persetujuan Bersatu untuk menyertai MN.

“Ia terjadi kerana Umno kecewa bila PN didaftarkan sebagai gabungan parti. Ia dilihat penting bagi kerajaan PN kerana ada parti yang mendukung kerajaan.

“Bertolak kepada pendirian Umno yang tidak akan bekerjasama dengan Bersatu bila parlimen dibubarkan, ia telah menjadi keputusan seolah-olah ‘point of no return’ bagi Umno, maka kini ramai pihak meluahkan usaha agar MN diperkukuhkan antara dua parti sahaja.

Menurut Tuan Ibrahim lagi, PAS melihat asas pembentukan harus dlihat dalam kerangka semasa, buka sebelum pembentukan kerajaan PN.

Selain itu, beliau turut mengingatkan Umno untuk mengamalkan politik meramaikan kawan bukannya musuh politik.

“Jangan menang sorak, kampung tergadai. Menyanyilah lagu anak kecil bermain api, kalau tidak dihayati, ia akan membakar diri,” kata Tuan Ibrahim memetik lirik lagu semangat yang biasa dimainkan dalam majlis Umno.