Saturday, May 15, 2021

KKM teliti data sebelum benar penerima vaksin rentas negeri

Penelitian data teknikal dan klinikal akan dilaksanakan sebelum kerajaan mengambil keputusan benarkan perjalanan rentas negeri.

Other News

Kementerian kesihatan (KKM) sedang meneliti data teknikal serta klinikal berkaitan kesihatan di negara ini susulan cadangan membenarkan individu yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 untuk merentas negeri.

Menterinya, Dr Adham Baba berkata cadangan memberi kebenaran rentas negeri itu telah dibincangkan di peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sendiri mengutarakan dan memberi penekanan terhadap perkara itu.

“Saya bersetuju dengan perdana menteri. Kebenaran rentas negeri apabila selesai vaksinasi sewajarnya kita berikan sebagai insentif seterusnya menggalakkan orang ramai untuk dapatkan vaksin Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah bagi Kempen MyDebit di KKM, hari ini.

Semalam, Muhyiddin berkata individu yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 mungkin dibenar untuk merentas negeri malah mereka juga mungkin boleh ke luar negara dan keputusan mengenai perkara itu akan dibuat pada mesyuarat MKN.

Dr Adham berkata buat masa ini, kebenaran rentas negeri hanya dibenarkan kepada individu yang terlibat dalam sektor perkhidmatan perlu serta pelancong melibatkan kawasan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dengan menggunakan agensi pelancongan berdaftar bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19.

“Bagi pergerakan rentas negeri memang ada kes Covid-19 direkodkan namun tiada kluster,” katanya.

Selain itu, beliau menegaskan individu yang telah lengkap melalui proses vaksinasi masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19.

“Mereka (yang telah divaksin) ini tidak terlepas daripada perlu menggunakan pelitup muka, mengamalkan kebersihaan dan menjaga penjarakan fizikal,” katanya.

Mengenai Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pada 17 April ini, Adham berkata pihaknya telah melakukan persiapan rapi di 600 pusat pemberian vaksin (PPV) bagi memastikan proses vaksinasi berjalan lancar.

“Pendaftaran untuk menerima vaksin perlu dipertingkat dan ia boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera, talian hotline atau bersemuka dengan hadir ke fasiliti kesihatan,” katanya.

Beliau berkata seramai 9.4 juta penerima vaksin disasarkan dalam fasa kedua melibatkan golongan berisiko tinggi antaranya warga emas, pesakit kronik, orang kurang upaya (OKU) dan individu mempunyai komorbiditi.

“Setakat hari ini, seramai 498,468 individu telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 dan dalam beberapa hari lagi, angka 500,000 terima dos pertama akan tercapai,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles