- Iklan -
Berita

Di pedalaman Kedah, air bersih masih lagi impian penduduk kampung

Orang kampung terpaksa habiskan wang untuk buat sistem paip sendiri demi mendapatkan bekalan air dari sungai.

Fadila Awaludin
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang penduduk di Kampung Bukit Sebelah terpaksa cuci baju di sungai. Rata-rata penduduk di daerah Baling kecewa dengan pengurusan air di negeri tersebut.
Seorang penduduk di Kampung Bukit Sebelah terpaksa cuci baju di sungai. Rata-rata penduduk di daerah Baling kecewa dengan pengurusan air di negeri tersebut.

Walaupun sudah lebih 60 tahun Malaysia merdeka, namun masih wujud rakyat di negara ini yang masih sukar mendapatkan keperluan asas seperti bekalan air bersih di rumah mereka.

Di Kampung Iboi, sebuah kawasan pedalaman di Baling, Kedah. Air yang dicatu adalah hakikat kehidupan harian mereka.

Tidak seperti di kebanyakan tempat di negara ini, penduduk Kampung Iboi hanya mendapat akses kepada bekalan air dari 12 tengah malam hingga pukul 2 petang dari Syarikat Air Darul Aman (Sada).

Walaupun sudah lama menyuarakan permasalahan tersebut Sada memberitahu penduduk kampung masalah tekanan air rendah di rumah pam sebagai punca kepada masalah ini.

Seorang peniaga membasuh cawan dengan keadaan air yang kecil di Kampung Iboi, Kupang, bekalan air akan putus setiap hari pada jam dua petang sehingga 12 tengah malam.

Pengerusi Bekalan Air Masyarakat Kampung Iboi Malik Arshad berkata keadaan rumah pam Sada untuk menyalurkan air kepada penduduk di Kampung Iboi berada pada tahap empat yang diklasifikasikan sebagai merbahaya.

“Sebelum ini pegawai daerah Baling pernah bertemu dengan Sada bagi membincangkan keadaan rumah pam ekoran kerap berlaku masalah air,” katanya ketika ditemui MalaysiaNow.

“Apabila ditanya bagaimana cara untuk menaiktaraf rumah pam terbabit, wakil Sada mengatakan perkara itu perlu ditanya kepada pihak kerajaan negeri.”

Tidak dapat bergantung dengan bekalan air dari Sada, penduduk kampung cuba selesaikan masalah itu sendiri.

Di Kampung Iboi, setiap rumah memiliki dua paip air. Satu dari Sada, dan satu lagi dari jawatankuasa yang menguruskan bekalan air alternatif kepada penduduk kampung.

“Kami mendapat kebenaran daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menggunakan rumah pam hidraulik untuk disalurkan kepada penduduk.

Pengerusi Bekalan Air Masyarakat Kampung Iboi, Malik Arshad berkata sesuatu kepada MalaysiaNow.

Namun, bekalan air alternatif ini juga mempunyai masalahnya yang tersendiri.

Aktiviti pembalakan dan penanaman durian musang king menyebabkan pencemaran sungai di kawasan tersebut.

“Disebabkan itu sukar untuk kami dapatkan bekalan air bersih tambahan daripada Sada dalam tempoh masa 24 jam,” kata Malik.

Mengharapkan bekalan air bersih

Seorang peniaga, Zaini Harun terpaksa menyediakan beberapa bekas simpanan air sebagai persediaan sekiranya ketiadaan bekalan air bagi memudahkan urusan di gerainya.

“Sumber utama air masyarakat ialah sungai yang kemudiannya dipam untuk disalurkan ke rumah-rumah dan fungsinya sama seperti perkhidmatan air biasa namun membezakannya ialah setiap urusan dilakukan oleh penduduk setempat.

Namun, ketika musim hujan lebat air akan menjadi keruh sehingga menyukarkan penduduk kampung.

Empangan hidraulik TNB yang diguna oleh masyarakat kampung itu bagi mendapatkan sumber air sungai untuk kegunaan harian.

“Saya sedang basuh pakaian, tak sedar air lumpur berwarna merah memenuhi mesin basuh sehingga merosakkan pakaian.

“Ketika itu air Sada tiada, jadi kami guna air masyarakat namun sekiranya berlumpur kami tiada bekalan air bersih,” katanya kepada MalaysiaNow.

Perkara sama turut berlaku kepada penduduk di Kampung Bukit Sebelah di Baling yang diibaratkan sudah sebati menggunakan air sungai bagi memenuhi keperluan harian.

Sebagai individu yang sudah tiga dekad menetap di kampung tersebut, Neng Sahad berkata, penduduk menerima bekalan air Sada tetapi melalui lori tangki air sebanyak dua kali seminggu yang masih tidak mampu menyelesaikan masalah mereka.

“Pelbagai pihak datang melawat ke Kampung Bukit Sebelah tetapi hasilnya tetap sama dan kami tetap tidak mendapatkan air serta perlu bergantung kepada air sungai.

“Kami perlu mengeluarkan modal sendiri untuk membeli peralatan mengepam air dari sungai kemudian disalurkan ke dalam rumah,” katanya.

Penduduk kampung Rahimah Yaakub pula mengharapkan bantuan anak dan cucu untuk mengepam air sungai.

“Saya sudah tua tidak mampu lagi untuk turun ke sungai kemudian naik beberapa anak tangga sambil membawa baldi air untuk dimasukkan ke dalam tiub saluran pengepaman,” kata wanita berusia 70 tahun itu.

Bukan sahaja penduduk di Kampung Bukit Sebelah yang terpaksa melakukan segala persediaan pengepaman air sendiri bahkan perkara sama turut dihadapi oleh Mokhtar Mohd Piah di Kampung Iboi.

Mokhtar membelanjakan sekitar RM2,000 untuk membeli mesin pam air fertigasi, paip dan tangki bagi memudahkan kegunaan harian.

“Saya tinggal bersama 10 ahli keluarga lain jadi bekalan air yang banyak itu penting untuk memasak atau mencuci.

“Saya juga perlu berbelanja sekitar RM100 sebulan untuk tujuan penyelenggaraan peralatan dan paip sekiranya berlaku kerosakan atau kebocoran.

Ibu pejabat Syarikat Air Darul Aman yang terletak di Jalan Sultan Badlishah, Alor Setar.

Jurucakap Sada Anas Aidi Md Rozai menafikan dakwaan wujud catuan air di beberapa kawasan memandangkan pihak Sada tidak pernah mengambil tindakan sedemikian.

“Sada hanya menjalankan perkhidmatan kepada penduduk dan sekiranya melibatkan naik taraf rumah pam perkara itu perlu dirujuk kepada pihak negeri,” katanya kepada MalaysiaNow.

Beliau juga mengesahkan telah menerima aduan akan permasalahan yang dihadapi penduduk, namun beliau berkata, solusi buat masa ini ialah dengan penyediaan lori tangki air di kawasan yang terjejas.