- Iklan -
Berita

PM harap RTM berani bawa perubahan supaya segar, relevan

RTM yang telah lama berkhidmat kepada rakyat, perlu bersedia berubah dengan perkembangan dan kemajuan teknologi.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Muhyiddin Yassin dalam sebuah siaran langsung RTM. Gambar: Bernama
Muhyiddin Yassin dalam sebuah siaran langsung RTM. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mahu Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang kini berusia lebih tujuh dekad mencipta tonggak pencapaian dalam industri penyiaran serta penerbitan negara selain berani membawa perubahan agar perkhidmatannya sentiasa segar dan relevan.

Muhyiddin berkata RTM yang telah sekian lama berkhidmat kepada rakyat, perlu bersedia berubah dengan perkembangan dan kemajuan teknologi semasa serta mencipta lebih banyak kejayaan baharu untuk membawa jabatan penyiaran negara ke satu tahap yang lebih tinggi.

“Slogan RTM – Teman Setia Anda memang sinonim dan mencerminkan perkhidmatannya kepada rakyat. Namun, RTM juga perlu berani membawa perubahan agar perkhidmatannya akan sentiasa segar dan relevan,” katanya dalam ucapan secara maya bersempena sambutan ulang tahun RTM ke-75 dan Orkestra RTM ke-60, hari ini.

Sambutan itu yang diadakan di Angkasapuri, dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah dan Timbalannya, Zahidi Zainul Abidin, Ketua Setiausaha kementerian Mohammad Mentek dan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Ruzain Idris.

Muhyiddin juga berharap supaya RTM tidak gentar membawa perubahan dalam era Revolusi Industri 4.0 di samping menggunakan kepakaran yang ditimba daripada pengalaman lalu untuk sentiasa menambah baik, melestarikan dan membangunkan perkhidmatannya.

Dalam pada itu, perdana menteri berkata projek menaik taraf Kompleks Penyiaran Angkasapuri kepada Bandar Media adalah sejajar dengan kemajuan pesat dalam bidang teknologi penyiaran dan piawaian penyiaran digital antarabangsa.

Muhyiddin berkata apabila siap sepenuhnya, projek yang dilaksanakan secara kerjasama di antara kerajaan dan pihak swasta itu akan menyediakan infrastruktur penyiaran berteknologi tinggi selaras dengan perancangan kerajaan untuk membangunkan perkhidmatan siaran televisyen digital.

Beliau berkata pembangunan Bandar Media itu juga selari dengan Pelan Transformasi RTM yang memfokuskan kepada pembangunan dan penggunaan platform media RTM secara lebih optimum dan mencapai visi jabatan dengan lebih efektif.

“Saya percaya pelan ini akan memberikan manfaat yang besar bukan sahaja kepada organisasi malahan kepada industri kreatif tempatan.

“Antara lainnya ia akan menawarkan pemantapan kandungan di saluran-saluran televisyen, penyegaran penyampaian di medium radio dan pemerkasaan media baharu untuk memupuk dan menambah kesetiaan dalam kalangan audiens,” katanya.