- Iklan -
Berita

KBS cadang asing proses Undi18, pendaftaran automatik di Kabinet

SPR diharap dapat melaksanakan usaha itu memandangkan semua anggota Kabinet menyokong Undi18.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pilihan raya umum (PRU) akan datang mungkin menjadi PRU pertama dalam sejarah melibatkan anak muda 18 tahun.
Pilihan raya umum (PRU) akan datang mungkin menjadi PRU pertama dalam sejarah melibatkan anak muda 18 tahun.

Kementerian belia dan sukan (KBS) telah mengemukakan cadangan kepada Kabinet untuk mengasingkan proses hak mengundi kepada mereka yang berumur 18 tahun dan pendaftaran pemilih automatik.

Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diharap dapat melaksanakan usaha itu dengan segala formula dan ruang yang ada, memandangkan semua anggota Kabinet hari ini menyokong Undi18.

“Dalam pindaan itu merangkumi banyak perkara, jadi saya fikir kita laksanakan dahulu ‘the low hanging fruit’ (mana yang mudah),” katanya yang juga akan mengutus surat kepada SPR dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan, berhubung cadangannya itu.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Penugasan Sukarelawan Khidmat Sokongan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC) di Putrajaya, Reezal Merican berkata Takiyuddin juga akan membentangkan perincian mengenai isu itu, pada minggu depan.

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun, dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 Sept 2022, dan kenyataan itu dipertikaikan banyak pihak yang menganggap penangguhan itu sebagai tidak munasabah.

Pada 16 Jul 2019, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan umur calon layak bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang turut hadir pada majlis itu berkata, beliau menyokong hujah KBS dalam mesyuarat Kabinet hari ini mengenai pengasingan proses itu, kerana dimaklumkan bahawa sistem pendaftaran automatik belum siap.

“Kalau tidak boleh dilaksanakan pendaftaran automatik sebab masalah sistem, kenapa perlu ditangguhkan Undi18. Undi18 boleh diteruskan macam biasa. Itulah pandangan kami dan kami akan membuat keputusan di Kabinet minggu hadapan,” kata Khairy.