- Iklan -
Berita

BioNTech-Pfizer umum 100% keberkesanan vaksin bagi kanak-kanak 12-15 tahun

Hasil kajian itu diumumkan dalam usahanya mendapatkan kelulusan bagi vaksinasi golongan remaja sebelum sesi persekolahan tahun depan.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Suntikan vaksin BioNTech/Pfizer yang dihasilkan berdasarkan teknologi novel mRNA merupakan vaksin Covid-19 pertama yang dipersetujui di Barat akhir tahun lalu. Gambar: AFP
Suntikan vaksin BioNTech/Pfizer yang dihasilkan berdasarkan teknologi novel mRNA merupakan vaksin Covid-19 pertama yang dipersetujui di Barat akhir tahun lalu. Gambar: AFP

BioNTech-Pfizer berkata pada Rabu bahawa vaksin yang dihasilkan oleh syarikatnya menunjukkan keberkesanan 100% terhadap koronavirus bagi kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun.

Hasil kajian itu diumumkan dalam usahanya mendapatkan kelulusan bagi vaksinasi golongan remaja sebelum sesi persekolahan tahun depan.

Ujian Fasa 3 yang dilakukan ke atas 2,260 remaja di Amerika Syarikat “menunjukkan keberkesanan 100% dengan tindak balas antibodi yang kuat”, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

“Kami merancang untuk hantar data-data ini kepada FDA sebagai usul pindaan Kelulusan Penggunaan Darurat (EUA) dalam beberapa minggu mendatang dan kepada pihak lain di seluruh dunia, dengan harapan dapat memulakan vaksinasi kelompok usia ini sebelum tahun persekolahan berikutnya,” kata CEO Pfizer, Albert Bourla.

CEO syarikat Jerman BioNTech itu turut berkata keputusan ujian yang menunjukkan imuniti yang tinggi dalam kalangan usia remaja “sangat menggalakkan memandangkan trend beberapa minggu kebelakangan ini mengenai penyebaran varian B.1.1.7 UK”.

Suntikan vaksin BioNTech/Pfizer yang dihasilkan berdasarkan teknologi novel mRNA merupakan vaksin Covid-19 pertama yang dipersetujui di Barat akhir tahun lalu.

Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) meluluskan penggunaannya bagi mereka yang berumur 16 tahun ke atas.

Sejak itu, ia digunakan bagi vaksinasi jutaan orang dewasa di lebih dari 65 negara.

Kajian menunjukkan ia memiliki kadar keberkesanan yang tinggi sehingga 94%.

Ketika dunia giat menjalankan program vaksinasi, BioNTech pada Selasa berkata bahawa ia sedang menghasilkan 2.5 bilion dos vaksin bagi tahun ini.

Penghasilan vaksin yang lebih tinggi itu turut didorong pelancaran tapak pengeluaran baru di bandar Marburg, Jerman. Kemudahan itu menjadi salah satu kilang pembuatan vaksin mRNA terbesar di dunia.

Vaksin ini juga dihasilkan di Belgium dan di tiga lokasi di Amerika Syarikat.

Minggu lalu, BioNTech dan Pfizer memulakan kajian suntikan bagi golongan kanak-kanak, dengan kumpulan pertama kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun disuntik vaksin tersebut.

Kumpulan kanak-kanak berusia dua hingga lima tahun turut dijangka menerima dos pertama minggu depan dalam kajian yang dijalankan yang turut merangkumi kanak-kanak berusia seawal enam bulan.