- Iklan -
Berita

Mangsa korban junta Myanmar lepasi 500 orang

Menurut badan pemantau tempatan, jumlah sebenar kematian di Myanmar mungkin lebih tinggi.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Penunjuk perasaan melambaikan tabik tiga jari sebagai simbol penentangan terhadap junta. Gambar: AP
Penunjuk perasaan melambaikan tabik tiga jari sebagai simbol penentangan terhadap junta. Gambar: AP

Lebih 500 orang terbunuh akibat tindakan ganas junta Myanmar terhadap penunjuk perasaan yang membantah rampasan kuasa menggulingkan pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi, kata kumpulan pemantau tempatan pada Selasa.

Jumlah itu disahkan ketika kecaman dunia terhadap tentera Myanmar semakin meningkat.

Tindakan junta di Myanmar turut disifatkan sebagai kejam apabila kekerasan digunakan bagi meleraikan gerakan rakyatnya yang menuntut pemulihan demokrasi dan pembebasan Suu Kyi.

Ekoran kekerasan junta di Myanmar, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres telah menggesa seluruh dunia untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa negara itu setelah lebih dari 100 penunjuk perasaan terbunuh akhir minggu lalu.

Washington hari ini turut dilaporkan menunda perjanjian perdagangan dengan Myanmar.

Tunjuk perasaan aman tanpa senjata di jalan raya Myanmar dilaporkan dibalas pihak junta dengan gas pemedih mata, peluru getah dan tembakan peluru hidup.

Menurut Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik (AAPP) sejumlah 510 kematian warga awam telah disahkan.

Badan itu juga turut menegaskan bahawa jumlah sebenar kematian mungkin lebih tinggi.

Dalam pada itu, Guterres turut menggesa junta Myanmar segera melaksanakan secara serius “peralihan demokrasi” di negara itu.

“Memang tak dapat diterima apabila keganasan terhadap rakyat di tahap yang dahsyat, sehingga banyak orang terbunuh,” kata Guterres pada satu sidang media.

“Kita perlukan lebih banyak kesatuan… (dan) lebih banyak komitmen dari masyarakat antarabangsa bagi memberi tekanan (kepada pihak berkuasa Myanmar) demi memastikan situasi kembali kepada sedia kala,” katanya.

Semalam, Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden turut mengumumkan pada bahawa Perjanjian Perdagangan dan Pelaburan 2013 bagi meningkatkan perniagaan di negara itu belum lagi disepakati sepenuhnya.

AS turut mengumumkan bahawa inisiatif tersebut akan ditangguhkan sehingga demokrasi dipulihkan di negara itu.

“Amerika Syarikat mengutuk sekeras-kerasnya keganasan pasukan keselamatan Burma terhadap orang awam,” kata Wakil Perdagangan AS Katherine Tai.

Kenyataan itu turut menguatkuasakan nyah senarai Myanmar daripada sistem pilihan umum AS.

Ia adalah kelebihan yang diberikan AS kepada negara tertentu untuk akses bebas cukai bagi beberapa barangan import dari negara membangun jika mereka memenuhi piawaian utama AS.

Sabtu lalu, tentera Myanmar menyambut hari angkatan tentera tahunannya dengan perarakan bersenjata, kenderaan dan jentera tentera di ibu kota Naypyidaw.

Bagaimanapun, pada hari yang sama, keganasan junta turut berlaku di seluruh negara itu.

Sekurang-kurangnya 107 orang terbunuh, termasuk tujuh kanak-kanak minggu lalu.

Walaupun korban jiwa semakin meningkat, para penunjuk perasaan dilaporkan masih keluar ke jalan raya pada Isnin.

Mereka turut berhimpun di majlis pengebumian mangsa junta sambil menunjukkan tabik tiga jari yang menjadi simbol gerakan.

Majlis Keselamatan PBB dijadualkan mengadakan mesyuarat pada Rabu demi membincangkan keadaan terkini di Myanmar.

Sumber diplomatik berkata ia diusahakan selepas Britain meminta perbincangan tergempar berhubung situasi semasa di sana.

Perancis turut mengecam keganasan junta dan menyifatkan tindakan junta Myanmar sebagai “membuta tuli dan membawa maut”.

Selain itu, Kremlin menyifatkan pihaknya “sangat bimbang” dengan peningkatan korban di Myanmar walaupun mengakui bahawa ia menjalin hubungan dengan pihak tentera.

AS, Britain dan Kesatuan Eropah (EU) telah pun melaksanakan sekatan terhadap junta Myanmar sebagai tindak balas rampasan kuasa dan tindakan ganas tersebut.

Malangnya, setakat ini, semua tekanan diplomatik antarabangsa masih belum meyakinkan panglima-panglima tentera Myanmar untuk meredakan keadaan di sana.