Wednesday, October 27, 2021

Jawab siapa calon PM BN sebelum ambil kerusi, kata MIC kepada Umno

Umno dianggap membelakangi MIC dalam keputusan-keputusan politik gabungan politik Barisan Nasional.

Other News

Belum selesai kemelut dalaman yang melanda Umno, kini parti itu dipersoalkan rakan komponen Barisan Nasional (BN), MIC, kerana membelakangi mereka dalam banyak keputusan selain menggesa parti Melayu itu menamakan siapa calon perdana menteri gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Naib Presiden MIC Sivarrajah Chandran mengingatkan pimpinan tertinggi Umno supaya jangan terlalu sombong dan “syok sendiri” sehingga boleh meminta semua kerusi termasuk kerusi tradisi parti itu untuk ditandingi mereka.

“Jawab dulu persoalan yang dibangkitkan oleh presiden MIC. Siapakah calon perdana menteri Barisan Nasional untuk PRU 15?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

“Tetapkan jawapan untuk soalan ini terlebih dahulu sebelum kamu hendak menyentuh hal ehwal rakan komponen dan berunding kerusi-kerusi komponen bagi pihak MIC dan MCA.”

Sebelum ini Presiden MIC SA Vigneswaran berkata, salah satu masalah yang perlu diselesaikan jika BN ingin bertarung bersendirian pada pilihan raya umum akan datang adalah siapa yang akan menjadi calon perdana menteri.

“Jika kamu akan berperang, kamu memerlukan kapten.

“Wajah siapa yang akan menghiasi poster untuk BN? Ini perlu diselesaikan. Kita tidak boleh bertanding pilihan raya dengan bendera tanpa kapten,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini semalam.

Semalam, Ketua Puteri Umno Sungai Siput Norazura Abdul Karim berkata sudah sampai masanya MIC memberi laluan kepada partinya untuk bertanding di kerusi kerusi Parlimen Sungai Siput.

Sungai Siput merupakan kerusi tradisi MIC yang pernah menjadi kubu kuat parti itu.

Norazura berkata demikian susulan kegagalan MIC untuk merampas kerusi Sungai Siput di Perak bagi tiga pilihan raya umum (PRU) berturut-turut sejak 2008.

Sivarrajah berkata, Umno perlu belajar menghormati rakan-rakan komponen dalam BN.

“Bukan main lagi puji rakan-rakan komponen di Persidangan Agung Umno diatas kesetiaan dan sebagainya.

“Tapi tak sampai dua hari kemudian, kamu hendak ‘tikam’ rakan komponen sebegini?” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles