- Iklan -
Berita

Selepas perhimpunan Umno, presiden PAS gesa rakan politik hentikan permusuhan

Hadi menasihatkan sekutu politiknya untuk bersabar dan menjadi pendamai.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden PAS mahu Umno dan Bersatu jalinkan hubungan bersaudara dan berukhuwah. Gambar: Bernama
Presiden PAS mahu Umno dan Bersatu jalinkan hubungan bersaudara dan berukhuwah. Gambar: Bernama

Selepas selesai Perhimpunan Agung Umno yang menyaksikan Bersatu menjadi “bahan belasahan,” Presiden PAS Abdul Hadi Awang menggesa sekutu politiknya agar tidak bermusuh sesama sendiri.

“Maka jangan kita berkasar terhadap rakan kita. Sebaliknya kita mesti menjalinkan hubungan bersaudara dan berukhuwah sesama kita.

“Jangan pula kita menjadi sebab berlakunya perpecahan. Bersabar dan jadilah pendamai,” katanya dalam kenyataan di Facebook petang ini.

Kenyataan Hadi dikeluarkan selepas ucapan penggulungan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi semalam yang menggesa semua menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkait kerajaan (GLC) daripada parti Melayu itu yang berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, bagi Hadi apa yang dibimbangkannya adalah perpecahan umat Islam yang semakin ketara apabila Umno memutuskan untuk tidak lagi meneruskan kerjasama dengan PN dan Bersatu.

Katanya, PN adalah penyatuan semua ummah yang dilihat membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.

“Saya ditanyakan soalan-soalan berkaitan situasi semasa politik yang sedang berlaku di tanah air kita. Beginilah jawapan saya.

“Masalah kita hadapi sekarang adalah perpecahan umat Islam. Maka PAS membawa agenda perpaduan ummah. Ummah yang dimaksudkan ialah umat Islam dan juga kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem. Inilah agenda perpaduan kita.”

Dalam ucapan Zahid dalam Perhimpunan Agung Umno 2020 di PWTC semalam meluahkan rasa kecewa dengan pendirian PAS dalam gabungan Muafakat Nasional (MN) yang dilihatnya sudah mula berubah selepas menyertai kerajaan PN.

Zahid turut menyindir PAS kerana menyertai gabungan PN.

“Setelah menyertai sebahagian daripada kerajaan, tiba-tiba pendirian politik mula berubah. Ingin saya tegaskan kita hanya menyokong pembentukan sebuah kerajaan yang kemudiannya dinamakan kerajaan Perikatan Nasional. Tidak disangka, ada pihak membentuk gabungan parti politik yang juga dinamakan Perikatan Nasional tanpa penyertaan Umno,” katanya.