- Iklan -
Berita

Kerjasama semua diperlukan dalam usaha melawan Covid-19, kata Agong

Sultan Abdullah menyambut baik usaha kerajaan dalam merangka Program Pemerkasaan Komuniti yang menyaksikan penglibatan seluruh lapisan masyarakat.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Sultan Abdullah berkata usaha melawan pandemik Covid-19 wajar digalas menerusi kerjasama semua pihak termasuk antara kerajaan dan rakyat. Gambar: AFP
Sultan Abdullah berkata usaha melawan pandemik Covid-19 wajar digalas menerusi kerjasama semua pihak termasuk antara kerajaan dan rakyat. Gambar: AFP

Yang di-Pertuan Agong hari ini menyeru semua rakyat untuk berganding bahu menunaikan tanggungjawab melindungi diri dan masyarakat menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Beliau berkata usaha melawan pandemik Covid-19 wajar digalas menerusi kerjasama semua pihak termasuk kerjasama antara kerajaan dan rakyat serta melalui semangat setiakawan yang erat dari seluruh rakyat.

“Beta menaruh sepenuh keyakinan, berbekalkan ikhtiar serta usaha kita semua menerusi Program Pemerkasaan Komuniti dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, akan membolehkan kita bangkit semula, bersama seiring dan sehaluan membina masa hadapan yang lebih gemilang buat negara yang dicintai ini.

“Marilah kita bersama-sama meneruskan agenda memerangi pandemik Covid-19 dan menunaikan kewajipan untuk melindungi negara tanah tumpahnya darah kita,” kata baginda dalam Titah Diraja sempena pelancaran Program Pemerkasaan Komuniti yang disiarkan secara langsung hari ini.

Agong turut berkata ketika negara mula dilanda gelombang pertama pandemik Covid-19 pada awal tahun lepas, negara berjaya melandaikan lekuk peningkatan kes harian hasil usaha gigih pelbagai pihak serta kerjasama erat seluruh rakyat Malaysia.

Namun, katanya, pada tahun ini negara dikejutkan dengan peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 yang telah membawa cabaran getir kepada petugas barisan hadapan dan fasiliti kesihatan negara, seterusnya mengubah falsafah kehidupan rakyat.

Justeru, Sultan Abdullah berkata baginda menyambut baik usaha kerajaan dalam merangka Program Pemerkasaan Komuniti yang menyaksikan penglibatan seluruh lapisan masyarakat dan pemimpin komuniti dalam mengurang serta mencegah jangkitan Covid-19.

“Di samping itu, inisiatif yang dikenali sebagai ‘Agen Basmi Covid-19’ atau ‘ABC-19’ bakal menyaksikan penglibatan pelbagai entiti untuk bergabung tenaga dalam memperkasakan komuniti,” titah baginda.

Agong turut menzahirkan kesyukuran atas usaha gigih kerajaan membawa vaksin yang berupaya melindungi rakyat daripada jangkitan Covid-19.