- Iklan -
Berita

Gelaran ‘kluster mahkamah’ terhadap pemimpin Umno adalah propaganda, kata PKR

PKR dan Umno juga mengalami nasib serupa apabila kedua-dua parti menyaksikan ahli Parlimen mereka keluar parti.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Fahmi Fadzil tidak mahu menggunakan istilah 'kluster mahkamah' kerana menurutnya ia hanyalah propaganda.
Fahmi Fadzil tidak mahu menggunakan istilah 'kluster mahkamah' kerana menurutnya ia hanyalah propaganda.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil menolak istilah “kluster mahkamah” terhadap pemimpin Umno yang berdepan pelbagai pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa, dalam langkah orang kuat Presiden PKR Anwar Ibrahim itu mengadakan kerjasama politik dengan parti Melayu tersebut.

“Ini jadi bahan propaganda. Kluster mahkamah ini adalah ciptaan J-KOM. Buat apa saya nak lariskan?” Kata beliau dalam sebuah program bual bicara baru-baru ini.

Fahmi merujuk Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), sebuah unit di bawah kementerian komunikasi dan multimedia yang dijenamakan semula dari Jasa yang dikenali sebagai unit propaganda di bawah Jabatan Perdana Menteri sepanjang pentadbiran Barisan Nasional.

Fahmi tampil dalam program itu bersama Kamal Amir, seorang veteran Umno yang rapat dengan presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.

Kenyataan beliau itu muncul susulan hubungan mereka yang semakin erat selepas rundingan politik berlaku antara PKR dan Umno bagi meneroka permuafakatan baru bagi menentang Perikatan Nasional (PN).

Istilah “kluster mahkamah” adalah gelaran berlatar belakang populariti istilah yang muncul saat pandemik.

Ia digunakan terhadap Zahid dan bekas presiden Umno Najib Razak dan beberapa kumpulan dalam kalangan pemimpin Umno yang kini berdepan pelbagai berkait rasuah, dan pengubahan wang haram.

Tahun lalu, Zahid dan Najib bersama-sama menulis surat kepada Istana Negara bagi menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai perdana menteri menggantikan Muhyiddin Yassin.

Kedua-dua mereka yang jika dicampurkan memiliki lebih dari 80 pertuduhan salah laku muncul sebagai pengkritik utama dasar-dasar kerajaan PN.

Fahmi berkata beliau menyedari wujud pihak yang mengkritik langkah PKR untuk bekerjasama dengan Umno di samping mengingatkan beliau mengenai kerjasama parti itu dengan Dr Mahathir Mohamad sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Dan di situ, saya terkesan dengan apa yang disebut oleh Zahid di Parlimen, mesti ada asas kejujuran dan keihlasan,” katanya.

Fahmi turut menambah PKR dan Umno menjadi mangsa kepada bukan sahaja kepada kebobrokan, tetapi satu pemikiran untuk hanya berpegang kepada kuasa.

Beliau berkata PKR dan Umno juga mengalami nasib serupa apabila kedua-dua parti menyaksikan ahli Parlimen mereka keluar parti.

Di samping itu kedua-dua parti turut diketepikan ketika mereka berada di dalam kerajaan.

“Apa yang berlaku kepada PKR, samalah juga dengan apa yang berlaku kepada Umno sebelum ini.

“Selepas PRU14, berlaku satu gerakan yang cuba memecah belahkan Umno, sama seperti apa yang berlaku kepada PKR,” katanya merujuk ahli Parlimen Umno yang lompat parti menyertai Bersatu selepas PRU14.

“Nasib Umno dan PKR dari segi itu memang samalah,” tambahnya.

Selain itu, Fahmi turut mendakwa ketika tempoh pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, Mahathir turut mengenepikan cadangan-cadangan PKR bagi jawatan kementerian.

“Senarai menteri-menteri yang dipilih dari PKR dalam pentadbiran di bawah Tun Mahathir dulu, bukan senarai parti,” katanya.