Saturday, July 24, 2021

Duduk di rumah kerana kasihkan ibu

Nur Fatihah Sahminan masih terlalu muda, namun dia mengerti 'sang ratu hati' memerlukannya.

Other News

Ketika menyedari kesihatan ibunya mula merosot akibat diabetes, Nur Fatihah Sahminan tidak teragak-agak untuk berkorban segalanya demi menjaga ratu hatinya itu.

Selama dua tahun Fatihah membantu ibunya untuk membersihkan diri dan bergerak dalam rumah selain turut membasuh baju dan memasak.

Kadang-kadang, pernah juga dia terfikir banyak perkara yang dia terlepas, namun Fatihah tahu ibunya lebih memerlukan bantuan.

Apa-apa pun, masih banyak masa untuknya – Fatihah, anak perempuan itu, baru saja menginjak usia 10 tahun.

Fatihah dan ibunya, Norlela Bujang tinggal di sebuah bilik sewa sebuah rumah kedai di Jalan Satok, Kuching, Sarawak.

Ada 10 bilik lain, namun hanya satu sahaja bilik air dan tandas yang dikongsi bersama penyewa lain.

Keadaan bilik air yang dikongsi bersama penyewa-penyewa lain.

Teman-teman persekolahan Fatihah sudah pun kembali ke sekolah selepas pengajaran secara bersemuka mula dilaksanakan bulan ini.

Namun anak ini masih di rumah tanpa wang untuk pergi ke sekolah.

“Saya disahkan menghidap kencing manis pada Oktober tahun lepas,” kata Norlela, 50 kepada MalaysiaNow.

“Penglihatan mata kiri saya hilang dua tahun lalu. Mata belah kanan pula tak boleh lihat dua bulan lepas pembedahan di kaki akibat kencing manis.”

Fatihah mengalu-alukan MalaysiaNow ketika lawatan kami.

Ibu tunggal itu bercerai lapan tahun lalu. Dia kini hanya memiliki seorang anak perempuan.

Ekoran kesihatan yang semakin merosot, Norlela tidak mampu lagi bekerja.

Dia dan Fatihah terpaksa bergantung dengan bantuan jabatan kebajikan sebanyak RM350 sebulan.

Berbekalkan bantuan itu, dan beberapa bantuan lain daripada NGO, mereka berdua dapat bertahan dengan keperluan harian selain boleh membayar sewa sebanyak RM400 yang hakikatnya tidak cukup.

“Kami berpindah di sini awal Januari,” kata Norlela.

“Kami perlu berpindah kerana diusir dari rumah sewa lama di Taman Sukma.

“Kami tak mampu bayar sewa penuh sebanyak RM800 setiap bulan selepas ahli keluarga kami yang turut menyewa di sini ambil keputusan berpindah.”

Menurut Norlela, kadang-kadang dia dan Fatihah tidak ada beras untuk dimakan namun dia bersyukur dengan bantuan yang diterima.

“Kami terima takdir ini,” tambahnya.

Fatihah berkata dia risau untuk meninggalkan ibunya sendirian kerana Norlela tidak boleh melihat dan memerlukannya untuk bergerak.

Walaupun masih muda, dia tahu bahaya menanti di luar rumah kerana banyak jarum suntikan dadah di lantai tangga bangunan itu.

Demi menjaga ibunya, Fatihah berkorban dan menjalani hidup berbeza daripada kanak-kanak lain.

Dalam lawatan MalaysiaNow, kami mendapati hanya satu jalan masuk dan keluar dari bangunan tempat tinggal mereka.

Ketika ini, Fatihah hanya tinggal di rumah dan menjaga ibunya.

Menurutnya, untuk kembali belajar di sekolah dia perlu melihat kesihatan ibunya semakin pulih.

Sewaktu Fatihah ditanya tentang cita-citanya dewasa kelak. Dia menjawab mahu menjadi seorang inspektor polis.

“Saya nak belajar sungguh-sungguh dan jadi inspektor polis, bukan saja nak jaga ibu, saya nak jaga orang lain juga.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles