Thursday, April 22, 2021

Umno perlu penjajaran politik baru, kata Zahid

Menurut Zahid, Umno perlukan penjajaran politik baru bagi meneruskan matlamat penubuhannya dan seiring realiti semasa.

Other News

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini menggesa parti Melayu itu melakukan penjajaran politik baru, selain menggesa perwakilan menerima keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk memutuskan hubungan dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya akan datang.

“Realiti politik hari ini, memerlukan Umno melakukan penjajaran penyesuaian politik baru untuk meneruskan matlamat penubuhannya. Kerana itulah kewajaran dan kematangan saf kepimpinan Umno menolak kerjasama dengan Bersatu setelah kita sedari ketidakjujuran muslihat politik yang dilakukan oleh mereka terhadap Umno,” kata Zahid dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) di Kuala Lumpur hari ini.

MKT Umno akan mendapatkan sokongan perwakilan pada PAU kali berhubung keputusan pada Februari untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu, kempen yang diterajui Zahid, bekas perdana menteri Najib Razak dan sekumpulan pemimpin Umno.

Zahid berkata, keputusan memutuskan hubungan dengan Bersatu merupakan sentimen akar umbi sambil memetik hadis Nabi Muhammad yang bermaksud: “Tidak boleh dimudaratkan dan tidak boleh memudaratkan orang lain”.

Zahid berkata, pengalaman pilihan raya Sabah Sabah yang akhirnya menyaksikan ketua menteri dipilih daripada parti Bersatu membuktikan niat jahat parti pimpinan Muhyiddin Yassin terhadap Umno.

“Waspadalah! Muslihat mereka tidak akan berhenti selagi Umno tidak hancur,” katanya.

Ucapan Zahid itu mengesahkan cakap-cakap Umno bekerjasama dengan PKR untuk melawan PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Presiden PKR Anwar Ibrahim baru-baru ini mengesahkan partinya sedang berbincang dengan Umno bagi membentuk kerjasama.

Pada Oktober, Zahid dan Najib menulis surat kepada Agong bagi menyatakan sokongan kepada Anwar bagi menggulingkan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Kedua-dua pemimpin itu sebelum ini menggesa PAS untuk memikirkan semula keputusan untuk menjadi sebahagian daripada PN, mengingatkan parti Islam itu tentang piagam Muafakat Nasional yang ditandatangani pada 2019.

Dalam ucapannya hari ini, Zahid sekali lagi mengingatkan PAS masih belum terlambat untuk parti itu meninggalkan gabungan PN.

“Tapak yang berbeza tidak menjanjikan sebarang keberuntungan. Apatah lagi, pertambahan kerusi,” katanya.

Zahid berkata, Umno terbuka untuk membentuk gabungan dengan mana-mana pihak selepas PRU15 tetapi parti Melayu itu perlu mendominasi politik negara terlebih dahulu.

“Justeru, kita perlu dominan, barulah kita relevan.

“Untuk itu, kepimpinan Umno di semua peringkat dan seluruh akar umbi harus berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk menghadapi reset politik ini.”

Bagaimanapun Zahid berkata tiada perbincangan dengan Pakatan Harapan.

“No PPBM, No Anwar, No DAP! Kita tetap akan bertanding menggunakan panji-panji Barisan Nasional.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles