- Iklan -
Berita

Umno beri masa kepada PAS untuk putuskan kerjasama PRU15

Ahmad Maslan berkata beliau yakin PAS akan mengutamakan Umno berbanding Bersatu.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Gelagat Setiausaha Agong Umno, Ahmad Maslan ketika meninjau di bilik media pada Persidangan Umno 2020.
Gelagat Setiausaha Agong Umno, Ahmad Maslan ketika meninjau di bilik media pada Persidangan Umno 2020.

Umno tidak akan memberikan tekanan kepada PAS untuk membuat keputusan berhubung kerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata beliau yakin PAS akan mengutamakan parti Melayu itu berbanding Bersatu.

“Persahabatan itu mula lebih awal dari tahun 2019 ketika kita lawan Pakatan Harapan (PH), ketika Bersatu berada dalam PH bersama DAP (dan) PKR. Ketika itu lagi kita sudah bersama dengan PAS.

“Jadi, hubungan kita lebih panjang banding PAS dengan Bersatu,” katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata beliau tidak mendengar reaksi negatif daripada Presiden PAS Abdul Hadi Awang sepanjang pertemuan kedua-dua mereka pada Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur.

Katanya, pemimpin utama PAS acap kali menegaskan hubungan Muafakat Nasional (PN) perlu diperkukuhkan.

“PAS ingin jadi jambatan hubungan walaupun kita nyatakan hubungan dengan Bersatu sudah diputuskan,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pemimpin PAS menyuarakan kebimbangan berhubung hubungan antara Umno dan Bersatu yang dilihat akan berakhir pada PRU15.

Malah mereka turut merayu agar Umno bersikap lebih rasional sebelum membuat sebarang keputusan mengenai kerjasama dengan parti Bersatu pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.