- Iklan -
Berita

Gesaan Umno lepas jawatan Kabinet pandangan peribadi Ku Li, kata menteri

Keputusan lepas jawatan lebih terarah kepada pandangan peribadi yang berkemungkinan bertentangan dengan parti sehingga boleh menyebabkan perpecahan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pengamal media menemui Reezal Merican Naina Merican pada Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra baru-baru ini.
Pengamal media menemui Reezal Merican Naina Merican pada Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra baru-baru ini.

Kenyataan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah yang meminta ahli Kabinet daripada parti itu meletakkan jawatan merupakan pandangan peribadi, kata Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican.

“Saya orang parti jadi saya akan ikut keputusan, seperti saya jarang memberi pandangan peribadi di mana parti sudah ada pandangan sendiri,” katanya ditemui di Perhimpunan Agung Umno 2020 hari ini.

“Ini disebabkan saya tak mahu dilihat sebagai memberi pandangan yang membawa kepada berlakunya kepada pepecahan.”

Bagi Reezal, setiap ketidakpuasan hati akan disuarakan secara musyawarah dan masih berkiblatkan parti untuk membuat sebarang keputusan.

“Walaupun ada pandangan sendiri tetapi saya akan suarakan dalam mesyuarat kerana saya adalah orang parti yang ikut kepada keputusan parti.”

Hari ini Razaleigh berkata Umno harus meletakkan jawatan hari ini sekali gus memberikan mesej kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa beliau tidak lagi memiliki majoriti untuk menjadi kerajaan.