- Iklan -
Berita

Annuar Musa reda poster memfitnahnya disebarkan di PWTC

Annuar menyifatkan hal tersebut adalah perkara kecil dan hanyalah cerita yang dibuat-buat.

Fadila Awaludin
1 minit bacaan
Kongsi
Annuar Musa berkata sesuatu kepada media semasa berjalan keluar selepas mendengar ucapan dasar Presiden Umno, Zahid Hamidi di PWTC.
Annuar Musa berkata sesuatu kepada media semasa berjalan keluar selepas mendengar ucapan dasar Presiden Umno, Zahid Hamidi di PWTC.

Penyebaran poster yang memfitnah bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN), Annuar Musa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), tempat berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno tidak mengecilkan hati menteri Wilayah Persekutuan itu.

Poster yang tertera dengan tulisan: “Annuar Musa, rasuah kepada perwakilan untuk sokong usul Umno menjadi Kuda PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), Annuar Musa pengkhianat Umno” tersebar di PWTC hari ini.

Annuar berkata, hal tersebut merupakan perkara kecil dan hanyalah cerita yang dibuat-buat selain menyifatkan ianya sebagai isu dalaman.

“Poster itu tidak mengapalah masalah kecil sahaja orang nak buat cerita tidak mengapa, saya okay,” katanya ketika ditemui pemberita di PWTC hari ini.

“Masalah dalaman lazimlah saya tidak mengapa dan terimanya dengan sabar.”

Sementara itu, mengulas mengenai keputusan Umno yang ingin bergerak solo, Annuar menyerahkan keputusan tersebut kepada parti untuk memutuskan.

“Saya merasakan itu adalah hak presiden untuk cerita naratif sebagai satu ucapan dasar. Saya fikir itu adalah peluang untuk menilai sebaiknya kerana perbahasan belum bermula lagi,” katanya.