Thursday, October 28, 2021

Ura-ura dua pemimpin kanan Umno bakal dipecat tersebar

Spekulasi tersebut beredar di ambang hari terakhir Perhimpunan Agung Umno.

Other News

Selepas siri serangan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini, wujud spekulasi pucuk pimpinan yang menyokong presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sedang mempertimbangkan tindakan drastik malam ini untuk menyingkirkan pihak yang mengkritik beliau.

Spekulasi itu muncul dalam kalangan pucuk pimpinan malam ini di ambang hari terakhir perhimpunan Umno berlangsung esok.

Secara tradisinya, majlis kerja tertinggi Umno akan bermesyuarat sehari sebelum ucapan presiden.

MalaysiaNow difahamkan “tindakan drastik” itu adalah pemecatan dua pimpinan veteran Umno.

Ketika ditanya mengenai identiti dua pemimpin tersebut, sumber terdekat pucuk pimpinan Umno berkata “ia adalah rahsia umum.”

“Kalau mereka betul-betul dipecat sewaktu ucapan presiden oleh Zahid esok, ia akan mengejutkan, namun memang sudah lama diduga,” kata sumber kepada MalaysiaNow.

Sumber lain bagaimanapun menafikan perkara itu dan menyifatkan ia sebagai “khabar angin.”

“Khabar angin memang biasa di PWTC setiap kali perhimpunan Umno,” kata sumber merujuk tempat persidangan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa dan Ketua Umno Perlis Shahidan Kassim adalah antara pimpinan Umno yang lantang mengkritik Zahid selepas presiden Umno itu mengumumkan parti itu akan memutuskan kerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya akan datang.

Baru-baru ini, Annuar mengkritik tindakan Zahid yang menyokong Anwar Ibrahim bagi menjatuhkan pentadbiran PN yang diketuai Muhyiddin.

Sementara itu, Shahidan sebelum ini berkata Umno Perlis sedia memutuskan hubungan dengan kepimpinan pusat sekiranya mereka tetap meneruskan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu pada perhimpunan agung parti.

Antara perbahasan utama perwakilan dalam perhimpunan agung kali ini adalah isu sama ada Umno perlu putuskan huungan dengan Bersatu atau membiarkan dua parti itu berbalah dalam pilihan raya akan datang.

Senario yang semakin meruncing itu membuatkan PAS sebagai parti yang memiliki hubungan dengan kedua-dua parti tampil sebagai pendamai atau orang tengah.

Sebelum ini, Majlis Tertinggi Umno pernah mengambil tindakan memecat pimpinan kanan tanpa proses disiplin.

Antara pimpinan Umno yang pernah dipecat sedemikian rupa adalah Muhyiddin dan Ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir.

Mereka berdua dipecat kerana lantang mengkritik Najib susulan skandal 1MDB.

Anwar yang pernah menjadi timbalan presiden Umno juga mengalami nasib serupa sehari beliau dipecat daripada jawatan kerajaan 1998.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles