Thursday, April 22, 2021

Umno jadi pembangkang jika tidak bekerjasama dengan mana-mana parti, kata ahli MKT

Pimpinan dan akar umbi perlu berfikir jauh masa depan politik parti itu

Other News

Seorang ahli majlis kerja tertinggi (MKT) Umno menegaskan parti itu akan berada di blok pembangkang jika berpendirian tidak menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak atau parti politik pada pilihan raya umum akan datang.

Ini susulan kenyataan bertali arus daripada pemimpin sayap-sayap parti dalam ucapan dasar masing-masing yang mendesak Umno tidak meneruskan kerjasama bersama Bersatu dan menolak sebarang perikatan dengan DAP serta PKR.

“Kalau sekarang Umno bertanding dan tak cukup 120 kerusi. Sekarang no DAP, no PKR, no PPBM (Bersatu), siapa nak pakat dengan kita?

“Terus jadi pembangkang?” kata Zahidi Zainul Abidin ketika ditemui media pada Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur hari ini.

Atas sebab itu, beliau menggesa kepimpinan dan akar umbi parti supaya membuat perbincangan dan berfikiran jauh sebelum menolak sebarang tawaran kerjasama daripada mana-mana pihak.

Awal hari ini, Ketua Puteri Umno Zahida Zarik Khan menegaskan sayap parti itu menolak kerjasama dengan PKR dan DAP serta tidak memerlukan lagi Bersatu untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad turut menegaskan sayap wanita tidak mahu sebarang rundingan dengan DAP dan PKR seperti yang diputuskan oleh MKT.

Baru-baru ini Presiden PKR Anwar Ibrahim mengakui parti itu mengadakan rundingan awal dengan pimpinan Umno dan kemungkinan bekerjasama.

Pada Oktober MalaysiaNow mendedahkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak menulis surat kepada Istana Negara menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai perdana menteri.

Mengulas lanjut, Zahidi berkata Umno akan sukar mendapat kerjasama dengan mana-mana pihak atau parti politik sekiranya kenyataan menolak kesepakatan sudah dibuat di peringkat awal.

“Kalau awal-awal tak setuju dengan orang, orang pun tak setuju dengan kita.

“Kalau Umno boleh dapat 120 atau 112 kerusi, okey, tak payah setuju (berpakat) pun tak apa sebab kita boleh bentuk kerajaan.

“Tiba-tiba tak cukup (kerusi) dapat 60 atau 40, bagaimana kita boleh pastikan untuk dapat 120 kerusi?”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles