- Iklan -
Berita

‘Umno dominan dalam kerajaan PN’, Shahidan beritahu Tok Mat

Shahidan berpendapat persoalan Umno dominan atau tidak dalam kerajaan PN perlu dibincang dengan lebih teliti.

Fadila Awaludin
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Perikatan Nasional Shahidan Kassim.
Ahli Parlimen Perikatan Nasional Shahidan Kassim.

Shahidan Kassim menyangkal dakwaan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan kononnya kedudukan parti itu “sangat terpencil dan tidak dominan” dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi perhubungan Umno Perlis itu sebaliknya berkata, kedudukan parti Melayu itu dalam kerajaan PN lebih besar berbanding parti lain.

“Itu pandangan daripada timbalan presiden, tapi kedudukan sekarang adalah Umno ada sembilan menteri, hampir 20 timbalan menteri – lebih besar daripada Bersatu, lebih besar daripada PAS, lebih besar daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

“PAS ada tiga (menteri), GPS ada tiga, Bersatu ada lapan, BN (termasuk Umno) ada 11.”

Shahidan berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih lambat diadakan dan tidak perlu bagi Umno untuk membuat keputusan memutuskan kerjasama dengan Bersatu esok.

“Pilihan raya lambat lagi tetapi kenapa bincangkan seolah akan berlaku esok,” katanya.

Sehubungan itu, tegas Shahidan pandangan mengenai kedudukan sama ada Umno dominan atau tidak dalam kerajaan PN perlu dibincangkan dengan lebih teliti.

Sebelum ini dalam wawancara bersama MalaysiaNow menerusi program Talk Now, Shahidan menegaskan Umno Perlis akan mengekalkan hubungan dengan PN.

Beliau turut mengugut untuk memutuskan hubungan dengan kepimpinan pusat sekiranya mereka tetap meneruskan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu pada perhimpunan agung Umno.

Shahidan berkata beliau tidak bimbang jika tindakan diambil terhadap Umno Perlis di bawah pimpinannya.

“Kalau Perlis buat keputusan, mereka nak buang Perlis, maka buang lah.”

Dalam ucapan perasmian Mohamad yang dikenali sebagai Tok Mat pagi ini, beliau menekankan isu kerjasama Umno dengan Bersatu dan menganggap peranan partinya “sangat terpencil dan tidak dominan” dalam kerajaan PN.

“Kita lebih duduk tunduk daripada bangun menjadi induk. Ditambah pula dengan pendirian jelas Umno untuk tidak menyertai parti PN sejak awal dahulu,” kata Mohamad.