- Iklan -
Berita

MT Umno putus gantung keahlian Tun Faisal

Keputusan tersebut diambil ketika ura-ura mengatakan dua pemimpin Umno bakal dikenakan tindakan disiplin selepas mengkritik presiden.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Para perwakilan Umno yang hadir bagi mendengar ucapan perasmian sayap-sayap Umno oleh Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hassan.
Para perwakilan Umno yang hadir bagi mendengar ucapan perasmian sayap-sayap Umno oleh Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hassan.

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam ini memutuskan untuk menggantung keahlian Tun Faisal Ismail Aziz.

Penggantungan Timbalan Ketua Umno Bahagian Putrajaya itu diputuskan selepas tamat Perhimpunan Agung Umno 2020 bagi ketiga-tiga sayap parti itu dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi malam ini.

Menurut Pengarah Pilihan Raya Umno, Tajuddin Abdul Rahman, hanya seorang sahaja yang digantung keahliannya, dan tiada pemecatan dibuat kepada ahli Umno lain.

“Ya, seorang sahaja,” katanya kepada media di perkarangan Menara Dato’ Onn malam ini.

Menurut Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan yang tidak mahu mendedahkan siapa yang digantung berkata individu itu digantung 6 tahun.

“Saya dimaklumkan seorang kerana biarlah beliau menerima surat penggantungan itu yang telah dihantar sebentar tadi.

“Enam tahun digantung atau dua penggal pemilihan MKT.

“Segala perkara itu ada dalam surat berkaitan ada dalam surat berkaitan,” katanya kepada media.

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan bendahari Umno yang juga Ketua Umno Bahagian Putrajaya, Tengku Adnan Tengku Mansor menggerakkan agenda menyekat peluang Faisal menjadi calon Parlimen Putrajaya.

Malah Tun Faisal dihadapkan ke jawatankuasa lembaga disiplin parti atas kesalahannya mengkritik Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Perancangan itu dibuat melalui satu pertemuan tertutup bersama kira-kira 50 ahli jawatan kuasa bahagian dan ketua cawangan untuk menyokong tindakan tersebut dengan  menandatangani sebuah surat sokongan.