Wednesday, December 1, 2021

Speaker Dewan Rakyat tarik diri forum tampil Najib sebagai jurucakap utama

Forum itu turut menampilkan beberapa ahli politik PH termasuk Anwar.

Other News

Yang di-Pertua Dewan Rakyat menarik diri daripada hadir ke sebuah forum demokrasi berparlimen yang turut menampilkan bekas perdana menteri Najib Razak memberikan ucapan penutup acara.

Azhar Azizan Harun adalah antara barisan panelis yang turut menampilkan pimpinan Pakatan Harapan (PH) termasuk Presiden PKR Anwar Ibrahim, Teresa Kok (DAP-Seputeh) dan Khalid Samad (Amanah- Shah Alam).

Ketika dihubungi, Azhar yang dijadualkan menjadi panel forum mengenai masa depan demokrasi berparlimen, mengesahkan beliau tidak dapat hadir, kerana program itu bertembung dengan sebuah lagi acara.

Bagaimanapun, Anwar, Khalid dan Kok dipercayai akan meneruskan penyertaan mereka dalam forum tersebut.

Dalam pada itu, kehadiran seorang lagi peserta lain yang turut tersenarai dalam forum, Yang di-Pertua Dewan Negara Rais Yatim tidak dapat disahkan MalaysiaNow ketika ini.

Forum itu dianjurkan oleh kumpulan pemikir International Strategy Institute, yang diketuai Cheah Chyuan Yong.

Awal minggu ini, MalaysiaNow melaporkan kehadiran Najib di forum yang bertema demokrasi dan ia menimbulkan persoalan berdasarkan rekod pentadbirannya yang terpalit skandal mega.

Pentadbiran sembilan tahun Najib dicemari skandal 1MDB sehingga beliau menghadapi pertuduhan menyalurkan lebih AS$700 juta (sekitar RM2.6 bilion) dari sebuah syarikat pembangunan strategik ke dalam akaun bank peribadinya.

Pada 2015, pentadbiran Najib menghentikan siasatan yang dijalankan pelbagai agensi mengenai skandal tersebut selain memecat peguam negara yang mengetuai siasatan ketika itu.

Siasatan tersebut kemudian dibuka semula oleh pentadbiran Dr Mahathir Mohamad pada 2018 dengan pihak berkuasa turut menyita wang tunai dan pelbagai barangan mewah bernilai RM1 bilion yang disimpan di beberapa premis yang dikaitkan dengan Najib.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi menyabitkan bersalah terhadap Najib berhubung tujuh pertuduhan termasuk kesalahan pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berkaitan SRC International.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles