- Iklan -
Berita

Sarawak bakal wartakan kawasan rizab hutan di Kuching

Menurut ketua menteri Sarawak, kawasan itu mampu menyaingi taman-taman hutan terbaik di kawasan semenanjung.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Abang Johari Openg menyiram pokok dalam program Hari Hutan Antarabangsa peringkat Sarawak hari ini. Gambar: Bernama
Abang Johari Openg menyiram pokok dalam program Hari Hutan Antarabangsa peringkat Sarawak hari ini. Gambar: Bernama

Kerajaan Sarawak akan mewartakan daerah Petra Jaya, Kuching, sebagai kawasan yang dilindungi sepenuhnya pada tahun depan sebagai sebahagian usaha pemuliharaan alamnya.

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata dengan menggerakkan usaha tersebut, ia dapat menerapkan konsep yang sama dengan Taman Alam Sekitar Simpan Stutong yang lebih dikenali sebagai Sama Jaya Nature Reserve.

“Kerajaan negeri telah menyasarkan daerah ini dalam warta rizab alamnya,” katanya di samping turut menambah bahawa dia telah mengadakan perbincangan dengan timbalannya, Awang Tengah Ali Hasan mengenai usaha mengubah wajah kawasan tersebut berdasarkan konsep “hutan bandar”.

“Kita ada satu di Stutong dan kawasan Taman Tasik, Bukit Siol ini adalah untuk Petra Jaya. Di sini, ia sesuai untuk konsep itu, kerana ada tasik.

“Kita lihat bahawa tempat ini boleh diubah menjadi rizab alam semulajadi dengan pelbagai jenis pokok,” katanya ketika merasmikan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri Sarawak di Kuching hari ini.

Beliau turut menambah bahawa kawasan itu mampu menyaingi taman-taman hutan terbaik di kawasan semenanjung.

“Kita miliki tanah yang luas, kita tidak memiliki penduduk yang ramai, dan kita akan perkenalkan inisiatif baru (untuk memelihara alam sekitar) dengan teknologi baru.

“Saya fikir jika kita tanam pokok dengan betul, tempat ini akan jadi lebih baik daripada yang ada di Kuala Lumpur. Taman-taman di sana juga turut dipulihkan. Tetapi yang ini lebih baik – kita dapat melihat bukit dan pokok,” katanya.