- Iklan -
Berita

Saifuddin gesa Undi 18 dan pendaftaran pemilih automatik disegerakan

Menurut Saifuddin umur 18 tahun diterima sebagai telah matang dalam dasar negara.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi

Pelaksanaan untuk Undi 18 tahun (Undi18) dan pendaftaran pemilih automatik sebaiknya disegerakan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.

Saifuddin menerusi perkongsian di Twitter hari ini memaklumkan, ini kerana Dewan Rakyat telah meluluskan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik.

“Definisi belia, matang dan sebagainya adalah subjektif. Untuk membuat dasar negara, lazimnya umur tertentu dipilih. Inilah yang berlaku dalam #Undi18. Umur 18 diterima sebagai telah matang,” katanya.

Usia minimum mengundi rakyat Malaysia direndahkan kepada 18 tahun berbanding 21 sebelum ini, selepas Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019 dan seterusnya oleh Dewan Negara pada 25 Julai 2019.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan semalam memaklumkan pendaftaran pemilih automatik dan Undi18, dijangka hanya boleh dilaksanakan selepas 1 Sept 2022 ekoran pelbagai kekangan dan isu yang menjejaskan perancangan serta persiapan awal pelaksanaannya.