- Iklan -
Berita

Jumlah syarikat baru didaftar atasi syarikat ditutup, kata menteri

Sebanyak 437,769 syarikat baru telah didaftarkan tahun lepas.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Dua bangunan pencakar langit, Menara Berkembar Petronas dan Menara Tun Razak Exchange (TRX) di kelilingi bangunan-bangunan perniagaan di Kuala Lumpur.
Dua bangunan pencakar langit, Menara Berkembar Petronas dan Menara Tun Razak Exchange (TRX) di kelilingi bangunan-bangunan perniagaan di Kuala Lumpur.

Jumlah syarikat baru yang didaftarkan mengatasi jumlah syarikat yang ditutup pada tahun lepas walaupun menghadapi pandemik Covid-19, menunjukkan keupayaan usahawan untuk seiring dengan trend dan norma baharu selain menggunakan teknologi, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Merujuk statistik Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), beliau berkata sebanyak 437,769 syarikat baru telah didaftarkan, termasuk 131,139 syarikat dalam talian baharu berbanding 78,420 syarikat yang ditutup.

“Ini menunjukkan jika seseorang itu dinamik, dapat menyesuaikan dengan perubahan dan menggunakan teknologi, mereka akan berjaya. Bagi menjadi usahawan yang berjaya, mereka perlu membuat keputusan dengan segera dan dapat mengubah pelan apabila ia tidak lagi sesuai dan bersedia untuk merebut peluang baharu.

“Mereka yang mengguna pakai teknologi akan berkembang dan mereka yang sebaliknya, akan menghadapi kesukaran,” katanya dalam ucapan pada majlis Anugerah Perniagaan PKS dan Keusahawanan (SEBA) 2020 malam ini.

Sebanyak 55 anugerah berprestij diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan pada Majlis Makan Malam Gala Penyampaian Anugerah.

Beliau berkata kementerian akan memberikan penyelesaian yang menyeluruh kepada usahawan, daripada kategori tidak formal dan mikro sehingga kepada mereka yang berada dalam kategori berteknologi tinggi dan bermodal tinggi.

Katanya kementerian dan agensinya akan membantu mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk keusahawanan di Malaysia bagi berkembang maju.

“Tanpa mengambil kira kategori anda berada, apabila anda berjumpa kami, kami akan membimbing anda, memantau kemajuan anda dan memastikan anda mencapai kejayaan,” katanya.

Beliau berkata matlamat kementerian untuk melahirkan 100 jutawan setahun daripada kumpulan usahawan tempatan bukan hanya ‘cakap kosong’.

“Kami mempunyai pelan untuk mencapainya,” katanya.

Pada majlis itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aerodyne Group, Kamarul A Muhamed telah dianugerahkan Usahawan Terbaik manakala Pengasas Bersama dan CEO Kumpulan Carsome Eric Cheng serta Pengasas Bersama Carsome dan Pengarah Carsome Academy Teoh Jiun Ee telah dianugerahkan secara bersama Usahawan Tekno Terbaik.