- Iklan -
Berita

Bank jadi pihak ketiga tuntut lot kedai kes lucut hak harta Azeez

Kerajaan memohon untuk melucut hak wang hampir RM16 juta daripada akaun peribadi Tabung Haji milik isteri Azeez.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Abdul Azeez Rahim ketika di mahkamah bagi perbicaraan kes. Gambar: Bernama
Abdul Azeez Rahim ketika di mahkamah bagi perbicaraan kes. Gambar: Bernama

Sebuah bank menjadi pihak ketiga bagi menuntut satu lot kedai di Bandar Sunway milik Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd dalam permohonan kerajaan untuk melucut hak harta tersebut.

Kerajaan memohon untuk melucut hak wang hampir RM16 juta daripada akaun peribadi Tabung Haji (TH) milik isteri bekas pengerusi TH Abdul Azeez Abdul Rahim dan empat anak mereka termasuk satu lot kedai berkenaan yang merupakan satu unit pejabat milik Azeera Management Consultants.

Timbalan pendakwa raya (TPR) Nik Haslinie Hashim memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak ketiga iaitu Maybank Islamic Berhad yang diwakili peguam Poh Choo Hoe hadir ke mahkamah hari ini.

“Mohon mahkamah merekodkan bahawa terdapat penuntut dalam permohonan ini. Penuntut (Maybank) hari ini menuntut harta di item keenam pada senarai warta kerajaan (satu lot kedai),” katanya yang turut mengendalikan kes itu bersama TPR Aslinda Ahad dalam prosiding pewartaaan pihak ketiga kes lucut hak itu di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin.

Jamil kemudian menetapkan 29 Jun ini bagi pendengaran permohonan kerajaan untuk melucut hak wang dan lot kedai berkenaan.

“Pihak-pihak perlu memfailkan afidavit sekiranya perlu dan memasukkan hujahan bertulis seminggu sebelum tarikh pendengaran itu (29 Jun),” katanya.

Prosiding itu turut dihadiri peguam Marina Mohamed yang mewakili responden iaitu isteri Azeez, Khadijah Mohd Noor dan empat anak mereka iaitu Mohamed Khairul Anwar, Mohamed Khairul Azman, Khaleeda Azwa, Khaleeda Azeera serta Azeera Management Consultants.

Sementara itu, Aslinda ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata item keenam yang dituntut oleh pihak ketiga adalah satu lot kedai yang terletak di Bandar Sunway.

Permohonan melucut hak itu difailkan pihak pendakwaan terhadap ahli keluarga Azeez pada September 2019.