Sunday, April 18, 2021

Umno bakal berhimpun dalam pertembungan hala tuju parti

Perhimpunan agung diadakan ketika Umno dilanda pergolakan dalaman selepas pemimpinnya dilihat tidak sepakat dalam menentukan masa depan parti itu.

Other News

Perwakilan dari seluruh negara dijadualkan berhimpun minggu ini di Kuala Lumpur ketika Umno terus bergolak berbanding zaman ketika menguasai kerajaan persekutuan, merupakan perhimpunan agung ketiga sejak kehilangan kuasa.

Walaupun parti itu kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat tahun lalu selepas menjadi pembangkang untuk tempoh yang singkat, Umno masih gagal menyatukan parti.

Bahkan, penganalisis berkata pertelingkahan dalaman akan menjadi semakin parah ketika para pemimpinnya secara terbuka bertelagah mengenai hala tuju parti itu.

Pertelagahan itu berlaku selepas pemimpin-pemimpin utamanya terbahagi kepada dua kumpulan sama ada bekerjasama dengan Anwar Ibrahim – selepas bekas ayam tambatan Umno itu mengakui wujud rundingan dengan parti Melayu itu – atau terus bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan bekerjasama dengan PAS dan Bersatu bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Pemerhati politik dari UKM Kartini Aboo Talib berkata, perhimpunan kali ini akan menyaksikan desakan yang kuat dari akar umbi yang tidak sependapat dengan pucuk pimpinanan.

Katanya, akan ada desakan agar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan, susulan pendedahan surat rahsia beliau ke Istana Negara yang menyokong Anwar menggulingkan Muhyiddin Yassin, perdana menteri dari kerajaan PN yang turut dianggotai Umno.

“Ramai ahli Umno merasakan kerjasama belakang pintu bersama PKR tanpa perbincangan majlis kerja tertinggi (MKT) adalah ibarat melakukan hubungan sulit yang tidak direstui oleh majoriti MKT dan ahli,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sejak beberapa minggu lalu Anwar dilihat sependapat dengan Zahid dan bekas perdana menteri Najib Razak, dua pemimpin Umno yang lantang mengkritik kerajaan dan menggesa parti itu membatalkan kerjasama dengan Bersatu bagi pilihan raya akan datang.

Bersatu dibentuk oleh Muhyiddin dan Dr Mahathir Mohamad selepas dipecat daripada Umno pada 2015.

Pemecatan beliau berpunca daripada sikap lantang beliau mengkritik skandal 1MDB Najib.

Zahid dan Najib mendakwa Muhyiddin mengabaikan Umno walaupun parti itu telah memberikan sokongan kepadanya untuk membentuk kerajaan tahun lalu.

Najib turut meningkatkan kritikan beliau terhadap Muhyiddin selepas disabitkan bersalah dalam kes rasuah melibatkan SRC International pada Julai tahun lalu.

Jalinan hubungan antara Anwar dan dua pemimpin Umno itu diakui presiden PKR selepas “rundingan awal” diadakan untuk membentuk kerjasama dengan Umno.

Kartini berkata, tidak mustahil ahli-ahli Umno akan mempersoalkan kredibiliti presiden dan semua barisan ahli MKT semasa perhimpunan agung parti itu hujung minggu ini.

“Dalam Umno ada beberapa puak atau faction, maka akan ada undi belah bahagi dan tidak semua menyokong kepada PKR dan PN,” kata felo penyelidik kanan Institut Kajian Etnik (Kita) UKM itu.

Sementara itu, penganalisis politik, Musli Oli berkata, ahli Umno pada hakikatnya masih belum sedar kelemahan yang mereka hadapi sehingga menyebabkan kehilangan kerajaan pada 2018 yang lalu.

“Umno ini tidak pernah sedar bahawa kekuatan sebenar bukan dalam ruang lingkup parti, soal kesetiaan kepada pemimpin dan parti sahaja tetapi bagaimana penerimaan ‘the silent majority’ terhadap kepimpinan parti,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, pengalaman tumbang pada PRU14 pada 2018 sepatutnya sudah mengajar Umno.

“Malangnya ada di antara mereka masih dilanda ‘denial syndrome’.”

Musli berkata, lebih parah lagi apabila terdapat pemimpin dan ahli Umno yang percaya parti itu kalah kerana rakyat terpengaruh dengan fitnah pembangkang.

“Kalah kerana fitnah kata mereka, walhal pemimpin yang mereka kata difitnah itu sudah dijatuhkan hukuman bersalah.

“Sekarang masih mahu mendabik dada. Pertahan pemimpin yang berdepan kes mahkamah.

“Macam mana hendak buat political marketing untuk masyarakat sivil?,” soalnya.

Musli merujuk Najib dan Zahid yang jika dicampurkan kini berdepan lebih daripada 80 pertuduhan melibatkan pecah amanah, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

Najib disabitkan bersalah dalam tujuh pertuduhan tahun lepas, dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun namun kini ditangguhkan bagi proses rayuan di mahkamah.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles