- Iklan -
Berita

Kes Covid-19 meningkat, India henti sementara eksport vaksin

Lebih 200 sampel dari Maharashtra dan New Delhi dikesan mempunyai varian baharu virus Covid-19.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita di India sedang menunggu giliran untuk pemeriksaan jangkitan Covid-19. Gambar: AP
Seorang wanita di India sedang menunggu giliran untuk pemeriksaan jangkitan Covid-19. Gambar: AP

India pada Khamis melaporkan jumlah jangkitan Covid-19 tertinggi dalam tempoh 24 jam untuk tahun ini, ketika laporan menyebut negara ini menghentikan sementara eksport vaksin.

Menurut data terkini kementerian kesihatannya, India mencatatkan 53,476 jangkitan baharu, menjadikan jumlah kes positif sebanyak 11.8 juta.

India merupakan negara ketiga paling teruk terjejas di dunia selepas Amerika Syarikat dan Brazil sejak pandemik Covid-19.

Negeri Maharashtra, Punjab, Kerala, Karnataka, Chhattisgarh dan Gujarat dilaporkan menyumbang 80% daripada kes baharu.

Maharashtra, melaporkan kes baharu harian tertinggi iaitu sebanyak 31,855, dan merupakan wilayah paling teruk diancam wabak Covid-19.

Lebih 200 sampel dari Maharashtra dan New Delhi dikesan mempunyai varian baharu virus Covid-19.

Bagaimanapun, ahli epidemiologi menyatakan tiada bukti untuk mengaitkan varian baharu itu dengan lonjakan kes.

Kempen vaksinasi di India menyaksikan lebih 53 juta dos vaksin disuntik dalam masa 68 hari.

Media tempatan turut melaporkan India menghentikan sementara eksport vaksin Covid-19 Oxford-AstraZeneca yang dihasilkan Institut Serum India (SII) bagi menampung keperluan dalam negara itu.