- Iklan -
Berita

Kes 1MDB ‘pendakwaan terpilih’, kata Anwar kepada ahli Parlimen PKR

Kenyataan itu sebahagian daripada penjelasan bagi memberikan justifikasi rancangannya untuk bekerjasama dengan Umno.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Himpunan Bersih 5 antara tunjuk perasaan yang menjadi simbol protes rakyat terhadap salah laku dan rasuah kerajaan Barisan Nasional sebelum PRU14.
Himpunan Bersih 5 antara tunjuk perasaan yang menjadi simbol protes rakyat terhadap salah laku dan rasuah kerajaan Barisan Nasional sebelum PRU14.

Dakwaan Anwar Ibrahim bahawa pemimpin-pemimpin Umno tidak didakwa kerana rasuah kerana menyertai Bersatu semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) tidak mengejutkan selepas mesyuarat tertutup bersama pemimpin parti baru-baru ini, kata sumber terdekat dengan PKR kepada MalaysiaNow.

Katanya, dalam mesyuarat bersama ahli-ahli Parlimen PKR minggu lalu, Anwar bukan sahaja mempertahankan kerjasamanya dengan Umno tetapi mengatakan pemimpin-pemimpin parti itu merupakan mangsa kepada pendakwaan terpilih pentadbiran 22 bulan Dr Mahathir Mohamad.

Sumber memberitahu MalaysiaNow, dalam pertemuan pada 16 Mac bersama ahli-ahli Parlimen dan pemimpin negeri PKR, Anwar menjelaskan berhubung rundingan bersama Umno tentang kemungkinan menjalankan kerjasama politik.

“Ini menyebabkan ada antara ahli-ahli Parlimen PKR yang bertanya apakah rundingan dan kerjasama itu melibatkan kluster mahkamah Umno,” kata sumber merujuk kepada gelaran diberikan kepada bekas pemimpin kerajaan yang berdepan dengan pelbagai pertuduhan rasuah.

“Soalan itu menyebabkan Anwar marah sehingga mengatakan kes 1MDB terhadap pemimpin-pemimpin Umno merupakan pendakwaan terpilih dilakukan Mahathir”.

Sumber menambah, kenyataan itu menyebabkan beberapa ahli Parlimen marah kerana fakta mengenai kes 1MDB sudah diketahui umum.

Bekas perdana menteri Najib Razak berdepan dengan 42 pertuduhan melibatkan pecah amanah, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan lima kes jenayah berkait skandal 1MDB.

Beliau sudah disabitkan bersalah dalam tujuh pertuduhan tahun lepas, dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun tetapi ditangguhkan bagi membenarkan proses rayuan.

Skandal 1MDB yang menyebabkan siasatan dilakukan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, merupakan tema utama kempen Pakatan Harapan (PH) semasa pilihan raya umum 2018 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) ditumbangkan buat pertama kalinya.

Pertemuan pada 16 Mac di diadakan selepas PKR kehilangan tiga ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mereka adalah Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong, Ahli Parlimen Julau Larry Sng dan terbaru Ahli Parlimen Kuala Langat Xavier Jayakumar.

Selepas pertemuan itu Anwar mengadakan sidang media dan memberikan jaminan tiada lagi ahli Parlimen PKR akan meninggalkan parti itu.

Pada Isnin Anwar bertemu dengan pegawai-pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dakwaan tiada tindakan terhadap bekas pemimpin Umno yang menyertai Bersatu.

Anwar kemudiannya menggesa peguam negara dan bekas peguam negara untuk menjelaskan mengapa tiada kes terhadap mereka.

Sumber sama menambah, untuk menjustifikasikan kerjasamanya dengan Umno dalam mesyuarat itu, Anwar berkata terdapat berpuluh-puluh “kluster mahkamah PH” dan isu ini tidak seharusnya dibangkitkan.

“Antara kluster mahkamah PH yang dimaksudkan Anwar ialah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang sedang berdepan dengan pendakwaan rasuah dan Presiden Amanah Mohamad Sabu yang mana bekas setiausaha politiknya sedang dibicarakan kerana rasuah.

“Dan Anwar mengulangi tentang berpuluh-puluh kluster mahkamah PH ini semasa sidang media tersebut,” kata sumber itu.

Pada sidang media itu, Anwar menjelaskan tentang kemungkinan kerjasama dengan Umno yang didedahkannya dalam wawancara bersama akhbar berbahasa Melayu sebelum itu.

“Janganlah mengandaikan hal ini seolah-olah ada satu persefahaman dan saya tengok banyak komentar yang mengatakan seolah-olah sudah ada satu perjanjian. Bangkitlah soal kluster mahkamah lah, soal siasatan.

“Saya nak bagi tahu, kalau siasatan SPRM ini, dalam PH puluhan orang dah. Tunggu nak didakwa sahaja.”