- Iklan -
Berita

Kemarahan meningkat di Myanmar selepas kanak-kanak dibunuh

Sekurang-kurangnya 20 kanak-kanak ditembak mati sejak junta Myanmar memegang tampuk pentadbiran di Myanmar.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Tunjuk perasaan Myanmar menyaksikan ratusan rakyat terbunuh di jalanan. Gambar: AP
Tunjuk perasaan Myanmar menyaksikan ratusan rakyat terbunuh di jalanan. Gambar: AP

Kematian seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang ditembak di rumahnya meningkatkan kemarahan rakyat Myanmar terhadap junta tentera.

Sekurang-kurangnya 20 kanak-kanak ditembak mati sejak junta Myanmar memegang tampuk pentadbiran negara bulan lalu.

Rejim junta Myanmar yang menggunakan kekerasan bagi meleraikan tunjuk perasaan dilaporkan telah menyebabkan ratusan kematian penunjuk perasaan yang membantah kudeta ke atas pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi pada 1 Februari lalu.

Pemimpin berusia 75 tahun itu akan dibicarakan pada Rabu selepas beliau menghadapi beberapa pertuduhan jenayah yang boleh menyebabkan beliau tidak lagi dibenarkan untuk berpolitik.

Di Mandalay, junta dilaporkan menahan penunjuk perasaan, melakukan serbuan rumah selain memukul dan melepaskan tembakan.

Semalam, tiga korban termasuk Khin Myo Chit yang berusia 7 tahun dilaporkan.

Menurut kumpulan pemantau tempatan AAPP, kanak-kanak itu ditembak mati di rumahnya.

AFP bagaimanapun masih lagi tidak dapat mengesahkan kematian tersebut.

Kumpulan Save the Children dan AAPP berkata sekurang-kurangnya 20 orang yang berusia di bawah 18 tahun telah terbunuh sejak tunjuk perasaan tercetus di Myanmar.

“Kami risau kanak-kanak terus menjadi mangsa serangan maut ketika tunjuk perasaan aman diadakan,” kata Save the Children dalam sebuah kenyataan.

“Keselamatan kanak-kanak mesti dilindungi dalam apa juga keadaan, dan kami menggesa pasukan keselamatan untuk menghentikan segera semua serangan ke atas penunjuk perasaan.”

Kumpulan itu juga bimbang sekiranya “ratusan belia” terus ditahan di pusat tahanan.

Sejak beberapa minggu lalu, junta Myanmar mempertahankan tindakan ganas mereka  dengan alasan tidak mahu bertoleransi dengan unsur “anarki” di Myanmar.

AAPP mengesahkan 275 kematian sejak kudeta tentera berlaku, namun menganggap jumlah tersebut mungkin lebih tinggi.

Ia juga menambah bahawa 2,800 orang lagi telah ditahan pihak berkuasa.