Monday, August 2, 2021

Bukan semua warga emas di pusat jagaan diabai keluarga

Pusat jagaan warga emas menjadi pilihan anak-anak yang mahu ibu bapa mereka mendapat jagaan dan pantauan profesional.

Other News

Bagi kebanyakan orang, rumah jagaan warga emas sering dikaitkan dengan tempat orang tua yang diabaikan atau dibuang keluarga kerana tidak ada lagi yang sanggup menjaga mereka.

Namun tidak bagi Erra Norfazira Tarmizi yang bertugas di Pusat Jagaan Husna Arrashid, Kuala Lumpur. Dia berkata tanggapan tersebut adalah kurang tepat.

Wanita berusia 22 tahun sudah bekerja di pusat jagaan itu sejak setahun lalu. Erra berkata, dia sendiri menyaksikan anak-anak melawat orang tua mereka di pusat jagaan itu dan membawa buah tangan, selain lampin pakai buang untuk ibu bapa mereka.

“Pada saya tiada istilah buang keluarga seperti yang sering didengar dalam drama kerana kebanyakan warga emas di sini dihantar disebabkan mereka memerlukan pemantauan rapi.”

Sebaliknya, Erra berkata, ramai anak-anak atau ahli keluarga mahu memastikan tahap kesihatan dan kebersihan orang tua mereka sentiasa dijaga rapi oleh individu yang berpengalaman dan berpengetahuan.

Temubual Penjaga Pusat Jagaan Husna Arrashid, Erra Norfazira Tarmizi, 22, berkaitan khidmat penjagaan peribadi warga emas di Kampung Klang Gate, Hulu Klang.

Di Pusat Jagaan Husna Arrashid, Erra bertanggungjawab membersihkan, memandikan dan menukar lampin sebahagian dari 16 warga emas dalam lingkungan usia 50 hingga 75 tahun yang tinggal di situ.

15 penghuni wanita dan seorang lelaki warga emas dijaga oleh tujuh orang petugas secara bergilir-gilir tiga syif sehari.

Kesemua warga pusat jagaan itu beragama Islam dan sudah serasi dengan Erra.

MalaysiaNow menganggarkan setiap keluarga membayar sekitar RM2,000 sebulan namun jumlah tersebut bergantung mengikut tahap kesihatan warga emas yang memerlukan pemantauan rapi.

Hubungan dalam talian

Sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ekoran pandemik Covid-19, ahli keluarga dibenarkan untuk berjumpa dan menziarahi di pusat jagaan itu.

Namun sejak setahun lalu, ahli keluarga hanya dibenarkan untuk menghantar kelengkapan dan barangan di luar pagar selain tidak dapat bertemu dengan orang tua mereka seperti biasa.

“Pertengahan tahun lalu semua penghuni melakukan ujian swab Covid-19 dan syukur tiada antara mereka dijangkiti virus berkenaan.

“Oleh itu demi menjaga keselamatan, penghuni tidak akan bertemu dengan ahli keluarga kecuali panggilan telefon dan video.

“Hampir setiap hari kami akan memaklumkan kepada ahli keluarga dan menghantar video sebagai pengubat rindu setelah sekian lama tidak berjumpa,” kata Erra yang turut memiliki hasrat untuk membuka sebuah pusat jagaan warga emas satu hari nanti.

Penjaga Pusat Jagaan Husna Arrashid menyediakan makanan untuk warga emas yang mendapat khidmat penjagaan peribadi di Kampung Klang Gate, Hulu Klang.

Selain menjaga penjarakan fizikal, pemakaian sarung tangan dititikberatkan ketika kakitangan ingin mengambil barangan dari ahli keluarga yang diletakkan di luar pagar premis.

“Mereka ini merupakan golongan berisiko dan sekiranya tidak dijaga dengan rapi sebarang kemungkinan boleh berlaku.

“Oleh itu kami mengambil pendekatan tegas dalam menjaga prosedur operasi standard (SOP) agar mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Rindu kepada ibu bapa dorong pusat jagaan dibuka

Harunnarashid Mohd Nor yang menubuhkan pusat jagaan warga emas itu untuk dijadikan pengubat rindu selepas kehilangan kedua-dua orang tuanya.

“Saya berhasrat untuk mencari ibu bapa angkat untuk dijaga dan oleh sebab itu saya membuka pusat jagaan ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

Demi menghargai warga emas yang menetap di situ, pusat jagaan itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik sempena mengimarahkan Ramadan.

Menurut Erra, antara aktiviti yang akan diadakan seperti menghias kad raya, merakamkan video berbuka puasa dan sembahyang tarawih.

Katanya, Ramadan kali ini mungkin tidak banyak berbeza dengan tahun lalu memandangkan masyarakat masih perlu mengikut prosedur operasi standard Covid-19 kerana kes masih lagi tinggi di Malaysia.

“Penekanan akan diberikan kepada warga emas yang mengalami Demensia atau Alzheimer kerana kadang-kala mereka terlupa bahawa mereka sedang berpuasa.

“Sebelum tahun 2020, ahli keluarga akan menyambut Ramadan bersama warga emas dan apabila Syawal mereka akan turut meraikan bersama-sama,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles